'Bila jadi menteri, koyak dengan soalan wartawan' - Akmal Saleh kecam Nga Kor Ming | The Reporter

‘Bila jadi menteri, koyak dengan soalan wartawan’ – Akmal Saleh kecam Nga Kor Ming

Akmal Saleh selar Nga Kor Ming kerana didakwa ‘koyak’ dengan soalan wartawan Utusan.
Akmal Saleh menyelar Nga Kor Ming susulan dakwaan menteri itu ‘koyak’ dengan soalan wartawan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, menyelar tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, susulan dakwaan mengugut seorang wartawan Utusan Malaysia ketika sesi sidang media.

Dalam satu hantaran di Facebook, Akmal berkata tindakan Nga berbeza dengan pendiriannya sewaktu menjadi pembangkang.

“Orang yang dulu bukan main hentam kerajaan mengenai kebebasan media ketika jadi pembangkang.

“Hari ni bila jadi menteri, koyak dengan soalan wartawan dan siap ugut untuk dikenakan tindakan ke atas wartawan pula. Apa bingai punya menteri!!”

Kenyataan itu menarik perhatian besar di media sosial dan menambahkan tekanan politik terhadap menteri tersebut.

Baca juga:

Apa yang berlaku dalam sidang media lalu?

Insiden didakwa berlaku pada 29 Oktober 2025, ketika Nga menghadiri pra-pelancaran projek pelancongan “I Lite U”, apabila wartawan mempersoalkan penggunaan tema berbahasa Inggeris.

Nga menjawab, “Ini Tahun Melawat Malaysia 2026. Jadi kita perlu belajar untuk keluar daripada zon selesa. Sasaran kita ialah pelancong dari seluruh dunia.”

“Walaupun kita mungkin tidak menguasai Bahasa Inggeris sepenuhnya, kita mesti pastikan setiap pelancong yang datang berasa diterima. Sudah tentu kita menghormati bahasa kebangsaan, jadi saya harap awak (merujuk kepada wartawan Utusan Malaysia) tidak jadikan perkara ini isu.
Awak dari media mana?”

Selepas wartawan memperkenalkan diri dari Utusan Malaysia, Nga berkata, “Saya akan ingat itu dan saya akan hubungi ketua pengarang awak. Saya tidak mahu awak datang ke sini dan merosakkan majlis ini dengan soalan begitu.

“Saya akan minta Utusan Malaysia bertanggungjawab, saya akan hubungi ketua pengarang awak kerana perkara ini melibatkan kepentingan negara.”

Kenyataan tersebut dilihat sebagai berbaur ugutan, apabila wartawan seolah-olah boleh berdepan tindakan susulan hanya kerana bertanya soalan kritikal.

Kebimbangan kebebasan media

Insiden itu mencetus perbincangan lebih besar mengenai tahap kebebasan media dan sikap anggota pentadbiran terhadap soalan awam.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) sebelum ini menegaskan soalan wartawan berkenaan adalah wajar dan tidak provokatif, serta mengkritik tindakan mengugut untuk menghubungi ketua pengarang sebagai tekanan tidak wajar ke atas wartawan.

Pemerhati berpendapat, sidang akhbar seharusnya menjadi ruang terbuka tanpa ugutan atau ancaman balas terhadap pengamal media.

Related Posts