Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjadi perhatian selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan terhadap seorang wartawan Utusan Malaysia ketika sidang media pra-pelancaran projek pelancongan “I Lite U” pada 29 Oktober 2025.
Insiden berlaku selepas wartawan bertanya mengapa tema program menggunakan Bahasa Inggeris. Nga kemudian menjawab:
“Ini Tahun Melawat Malaysia 2026. Jadi kita perlu belajar untuk keluar daripada zon selesa. Sasaran kita ialah pelancong dari seluruh dunia.
“Walaupun kita mungkin tidak menguasai Bahasa Inggeris sepenuhnya, kita mesti memastikan setiap pelancong yang datang berasa diterima. Sudah tentu kita menghormati bahasa kebangsaan, jadi saya harap awak (merujuk kepada wartawan Utusan Malaysia) tidak jadikan perkara ini isu. Awak dari media mana?”
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Selepas wartawan menjawab “Utusan Malaysia”, Nga berkata:
“Saya akan ingat itu dan saya akan hubungi ketua pengarang awak. Saya tidak mahu awak datang ke sini dan merosakkan majlis ini dengan soalan begitu. Saya akan minta Utusan Malaysia bertanggungjawab, saya akan hubungi ketua pengarang awak kerana perkara ini melibatkan kepentingan negara.”
Kenyataan itu menimbulkan perhatian kerana dilihat seolah-olah memberi amaran bahawa wartawan boleh berdepan tindakan hanya kerana bertanyakan soalan kritikal berkaitan dasar.
NUJM: Tekanan tidak wajar terhadap wartawan
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengecam tindakan Nga, menyifatkannya sebagai tekanan tidak wajar terhadap pengamal media yang sekadar menjalankan tugas profesional.
NUJM menegaskan soalan berkenaan adalah relevan dan tidak bersifat provokatif, manakala mengugut untuk menghubungi ketua pengarang boleh mencetuskan budaya takut dalam kalangan wartawan.
Kesatuan itu menegaskan, wartawan berhak mengajukan soalan kritikal terutama dalam hal berkaitan kepentingan awam, termasuk penggunaan bahasa rasmi dalam program kerajaan.
Sumber: MalaysiaKini, Scoop, Malaysia Gazette








