Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan supaya hukuman rotan dikembalikan semula di sekolah sebagai langkah mendisiplinkan pelajar serta membendung gejala buli dan gangguan fizikal yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, hukuman berkenaan terbukti berkesan pada zaman dahulu dalam mendidik pelajar agar lebih berdisiplin dan menghormati para pendidik.
“Merotan memang berkesan semasa zaman kami bersekolah. Ketika itu tidak banyak kejadian malang seperti yang berlaku hari ini,” katanya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2026.
Lim turut mengesyorkan tiga langkah utama bagi menangani masalah disiplin pelajar yang kini menjadi isu nasional.
Beliau mencadangkan agar hukuman rotan dikembalikan secara meluas ke dalam peraturan sekolah, dengan pelaksanaan yang terkawal dan berpandukan garis panduan Kementerian Pendidikan.
Pemeriksaan psikologi
Selain itu, pendidik yang diberi kuasa menjalankan hukuman rotan perlu menjalani pemeriksaan psikologi secara berkala bagi memastikan tahap kesihatan mental dan emosi mereka berada dalam keadaan baik.
Lim menegaskan langkah itu perlu dilaksanakan bukan sahaja di sekolah kerajaan, tetapi juga diperluaskan ke sekolah swasta dan institusi pendidikan sosial.
“Dengan izin, pepatah Inggeris menyebut: ‘Spare the rod, spoil the child.’ Jangan biarkan pelajar menjadi rosak hanya kerana kita takut melaksanakan disiplin,” katanya lagi.
Cadangan kedua ialah peruntukan segera bagi memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dengan anggaran kos sekitar RM1 bilion untuk meliputi lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.
Walaupun kosnya besar, Lim yakin rakyat Malaysia akan menyokong langkah itu demi keselamatan anak-anak mereka.
Sistem antibuli, antigangguan seksual
Cadangan ketiga pula ialah mewujudkan sistem menyeluruh antibuli dan antigangguan seksual, termasuk meningkatkan pemantauan serta rondaan di sekolah.
Beliau turut mencadangkan agar wujud penglibatan lebih aktif antara pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah dalam usaha mendidik masyarakat tentang buli serta meningkatkan keupayaan mereka mengesan dan melaporkan kejadian tersebut.
“Kementerian Pendidikan digesa tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal membendung isu ini atau mengabaikan tanggungjawab mereka. Kita hanya dapat menghormati mangsa dengan memastikan kejadian tragis ini tidak berulang lagi,” katanya.