Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu hukuman rotan di sekolah kembali mencetuskan perdebatan apabila ada pihak berpendapat ia perlu dikembalikan demi membentuk disiplin murid. Namun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendekatan itu sudah tidak lagi relevan dalam konteks pendidikan moden yang menekankan nilai dan adab.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata KPM berpegang kepada prinsip bahawa pembangunan karakter pelajar harus berasaskan bimbingan, kasih sayang dan teladan, bukan ketakutan terhadap hukuman fizikal.
Menurutnya, kementerian mahu membentuk generasi pelajar yang berakhlak tinggi melalui pendidikan yang memupuk kesedaran dan tanggungjawab diri, bukannya melalui ketegasan fizikal semata-mata.
Baca juga:
- ‘Semua orang hanyalah NPC’ – Nota suspek yang ramai tak sedar jadi petanda awal tragedi lebih besar
- ‘Kata maaf pun tak akan dapat kembalikan anak perempuan mereka’ – Bapa suspek
- Remaja 14 tahun tikam rakan sekolah direman tujuh hari
“Untuk setakat ini, pendirian kita jelas, kita tidak menggunakan rotan sebagai alat dalam pendidikan.
“Negara maju lain tidak menggunakan rotan, tetapi mereka dapat melahirkan generasi yang beradab,” katanya memetik laporan Sinar Harian, Isnin.
Beliau menambah, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman dan keperluan emosi pelajar. Guru berperanan besar dalam menjadi model teladan yang mampu menginspirasikan pelajar untuk berdisiplin atas dasar hormat, bukan takut.
Pendirian itu sekali gus memperlihatkan komitmen KPM dalam memperkukuh pendidikan berasaskan nilai dan akhlak, selaras dengan aspirasi untuk melahirkan generasi Madani yang berilmu, beradab dan seimbang dari segi emosi serta moral.