Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Isu video tular yang memaparkan seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri ‘dihentak’ ke tiang oleh rakan-rakannya akhirnya tidak dibawa ke muka pengadilan. Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, pelajar berkenaan bersama bapanya sepakat untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang walaupun siasatan polis telah pun dibuka.
Katanya, pihak berkuasa telah memanggil semua yang terlibat untuk diambil keterangan, termasuk ibu bapa serta rakan-rakan mangsa.
“Mangsa sendiri tampil membuat laporan, namun selepas berbincang dengan keluarga, mereka enggan meneruskan kes ini,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Baca juga:
- Polis nafi unsur pergaduhan dalam kes kematian Ejen Andy Adul
- MYDIN Prihatin bantu ringankan beban perbelanjaan Sathiya
- Ammar Ahyan wakili ibu bapa serah zakat RM900,000 kepada Lembaga Zakat Selangor
Video cetus kegusaran awam
Rakaman berdurasi 13 saat itu terdahulu mencetuskan kemarahan orang ramai kerana kelihatan seperti satu bentuk buli. Beberapa pelatih lelaki dilihat mengangkat rakan mereka dengan posisi kaki terkangkang sebelum menghentakkannya pada tiang.
Polis sebelum ini turut memberi jaminan kertas siasatan akan dibuka sekiranya terdapat unsur jenayah atau laporan rasmi diterima.
Mancha menjelaskan, pemeriksaan di hospital mendapati pelajar tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kejadian itu lebih kepada gurauan yang keterlaluan. Mangsa dan bapanya juga menegaskan tidak mahu memanjangkan perkara ini,” katanya.