Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kejadian runtuhan jalan besar berlaku pagi Rabu di hadapan Hospital Vajira, Jalan Samsen, Daerah Dusit, Bangkok, menyebabkan terbentuknya lubang benam berukuran kira-kira 30×30 meter dengan kedalaman lebih 50 meter.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, bersama Timbalan Gabenor Assoc Prof Wisanu Subsompon, Pengarah Daerah Dusit, Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, wakil Hospital Vajira serta agensi berkaitan turun padang meninjau lokasi kejadian.
Turut hadir ialah pegawai dari Balai Polis Samsen, Pihak Berkuasa Air Metropolitan, Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (cawangan Samsen) serta kontraktor projek MRT Purple Line untuk menilai situasi, memberi bantuan dan melaksanakan kerja baik pulih segera.
Memetik laporan Nation Thailand, Chadchart berkata, punca awal kejadian dipercayai berpunca daripada tanah yang jatuh ke dalam terowong kereta api bawah tanah berhampiran tapak pembinaan Stesen MRT Vajira. Sebuah pusat kawalan khas telah ditubuhkan untuk memantau keadaan.
Pihak berkuasa memotong bekalan air utama yang rosak bagi memperlahankan pergerakan tanah. Tiang elektrik yang tumbang turut memaksa bekalan elektrik diputuskan di kawasan sekitar.
Hospital Vajira bagaimanapun dilaporkan selamat kerana mempunyai asas bangunan sedalam 60 meter serta dilindungi tembok penahan. Namun, Balai Polis Samsen yang terletak berdekatan terpaksa menghentikan operasi sementara kerana tiada perlindungan infrastruktur yang kukuh.
Baca juga:
- Polis nafi unsur pergaduhan dalam kes kematian Ejen Andy Adul
- MYDIN Prihatin bantu ringankan beban perbelanjaan Sathiya
- Ammar Ahyan wakili ibu bapa serah zakat RM900,000 kepada Lembaga Zakat Selangor
Pejabat Daerah Dusit mengumumkan penutupan jalan dari Persimpangan Vajira hingga Persimpangan Sanghi serta kawasan sekitarnya berikutan keruntuhan yang terus melebar sehingga ke hadapan Balai Polis Samsen.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan, namun pesakit hospital dan penduduk sekitar telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Media tempatan turut melaporkan bahawa lubang benam berkenaan masih melebar dan berpotensi menjejaskan keselamatan serta operasi di kawasan terbabit.