Kerajaan tak halang rakyat adakan protes, asalkan patuh undang-undang - PM | The Reporter

Kerajaan tak halang rakyat adakan protes, asalkan patuh undang-undang – PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbaju Melayu biru muda berinteraksi dengan orang ramai di sebuah restoran selepas solat Jumaat.
PM Anwar Ibrahim tegaskan kerajaan tak halang rakyat adakan protes, asalkan patuh undang-undang. | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri / Facebook Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak menghalang rakyat untuk mengadakan protes selagi ia dilakukan secara sah, aman dan tidak diselangi unsur keganasan, ugutan atau fitnah.

Beliau menolak tanggapan bahawa kerajaan cuba mengekang kebebasan bersuara, sebaliknya menjelaskan tindakan tegas hanya diambil jika demonstrasi melampaui batas undang-undang.

“Tidak ada salah rakyat mengemukakan pandangan atau bantahan. Tetapi kalau sampai membakar rumah pemimpin atau menyebar tuduhan fitnah, itu tidak boleh diterima,” katanya memetik laporan Berita Harian, 5 September.

Baca juga:

Banding dengan protes di Indonesia

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan protes di Indonesia berlaku di Malaysia sekiranya rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.

Republik itu menyaksikan gelombang protes besar-besaran susulan kemarahan rakyat terhadap elaun mewah Ahli Parlimen dan tragedi seorang pemandu p-hailing, Affan Kurniawan, yang maut digilis kenderaan polis ketika demonstrasi di Jakarta. Protes tersebut merebak ke seluruh negara, termasuk di hadapan ibu pejabat pasukan elit Brimob.

Menurut Anwar, Malaysia harus mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan mengekalkan keamanan dan kestabilan, kerana sebarang kekacauan akan memberi kesan langsung kepada rakyat sendiri.

Fokus ekonomi & kestabilan

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa segala dasar kerajaan, termasuk pemotongan elaun menteri, penurunan harga minyak, serta peningkatan peruntukan kepada rakyat hanya boleh dinikmati jika negara aman dan ekonomi terus berkembang.

“Semua itu hanya dapat dilaksanakan bila negara stabil, rakyat bekerja kuat dan pelaburan masuk,” katanya.

DPR batal elaun perumahan ahli parlimen

Dalam perkembangan terbaharu di Jakarta, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengumumkan pembatalan elaun perumahan ahli parlimen bernilai 50 juta rupiah (RM13,000) sebulan berkuat kuasa 31 Ogos 2025.

Timbalan Yang Dipertua DPR, Sufmi Dasco Ahmad berkata, semua elaun akan dinilai semula selain menetapkan moratorium lawatan kerja ke luar negara, selaras arahan Presiden Prabowo Subianto.

Langkah itu dibuat selepas protes besar-besaran minggu lalu yang tercetus akibat cadangan elaun mewah tersebut, ditambah pula dengan kematian pemandu p-hailing Affan Kurniawan yang mengundang simpati rakyat. DPR turut merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta mereka yang terkorban sepanjang demonstrasi.

Related Posts