'Buli siber terhadap Dr Jessie, titik terendah profesyon perubatan' - PHM | The Reporter

‘Buli siber terhadap Dr Jessie, titik terendah profesyon perubatan’ – PHM

PHM menyifatkan buli terhadap Dr Jessie sebagai titik terendah dalam profesyen perubatan.
Gambar: Facebook PHM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Public Health Malaysia (PHM) menyifatkan serangan buli siber terhadap pakar forensik patologi, Dr Jessie Hiu, sebagai titik terendah profesion perubatan dan mengecam tindakan segelintir netizen yang melampaui batas.

Dalam kenyataannya, PHM menegaskan bahawa Dr Jessie merupakan tokoh penting dalam bidang perubatan forensik, berpengalaman luas dalam ratusan bedah siasat termasuk kes berprofil tinggi, serta menjadi rujukan dalam profesionnya.

“Beliau dikenali kerana ketelitian, keberanian bersuara dan komitmen menjaga integriti ilmu. Bukan sekadar pakar, Dr Jessie juga seorang pendidik yang membimbing ramai pelajar dan pegawai muda mencari kebenaran melalui sains, bukan sekadar cerita,” kata PHM.

Namun, tambah kenyataan itu, Dr Jessie kini menjadi mangsa kecaman kerana penemuannya tidak selari dengan “skrip” yang diinginkan sesetengah pihak. Beliau ditohmah menerima wang, dituduh sebagai alat pihak tertentu, malah dihina dengan kata-kata yang tidak mencerminkan adab.

“Ini adalah titik paling rendah profesion apabila seorang doktor yang menjalankan amanah mencari kebenaran dipijak hanya kerana fakta yang tidak memuaskan hati,” tegas PHM.

Baca juga:

Menurut PHM, solidariti ini bukan sahaja buat Dr Jessie, tetapi untuk seluruh profesion perubatan.

“Kami menyeru netizen agar menghentikan budaya membuli. Jika ada keraguan, gunakan saluran yang betul untuk membuat laporan kepada polis atau SPRM, bukan dengan menyerang peribadi seorang doktor yang hanya menjalankan amanah profesyennya. Di sebalik kot putih itu ada seorang insan. Pertahankanlah ilmu, kerana di situlah nyawa dan keadilan bergantung,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, Dr Jessie Hiu membuat laporan polis selepas menerima ancaman daripada netizen dipercayai susulan keterangannya dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.

Related Posts