Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Orang ramai diingatkan supaya tidak perlu terburu-buru menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 yang dikreditkan secara sekali bayar dalam MyKad bermula 31 Ogos lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata penerima mempunyai tempoh sehingga 31 Disember ini untuk menggunakan bantuan berkenaan.
Menurutnya, penerima boleh berbelanja secara berkala di kedai runcit terpilih tanpa perlu risau beratur panjang.
“Jangan risau kerana anda mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit ini,” katanya selepas turun padang meninjau kedai runcit yang menyertai program MyKasih semalam.
Baca juga:
- ‘Kalau ikhlas berjuang untuk Melayu, push pemaju siapkan cepat projek’ – Penduduk Kg Sungai Baru
- ‘Tindakan tegas terhadap provokasi ganggu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru’ – Ketua Polis KL
- ‘Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal, ramai orang luar buat kecoh’ – Syed Badli
Sistem MyKasih kini lebih stabil
Teo turut memberi jaminan sistem MyKasih kini lebih stabil selepas kapasiti ditingkatkan 60 peratus oleh Kementerian Kewangan (MOF). Tindakan itu dibuat selepas beberapa aduan berlaku pada hari pertama dan kedua apabila terlalu ramai penerima cuba menebus bantuan serentak.
“Sekarang rakyat tidak perlu lagi bimbang untuk membuat pembelian menggunakan SARA,” jelasnya.
SARA sekali bayar ini bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat menerusi pembelian barangan asas di premis terpilih seluruh negara.
Sumber: BERNAMA