Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini memutuskan untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, daripada jawatan selepas didapati melanggar etika serius dalam isu panggilan telefon kontroversi dengan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Keputusan bersejarah itu dibuat dengan undian 6–3 oleh sembilan hakim mahkamah, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatan beliau yang baharu sahaja mencecah lebih setahun. Dalam keputusan sama, mahkamah turut mengisytiharkan seluruh kabinet Paetongtarn terbubar berkuat kuasa 1 Julai 2025, iaitu tarikh beliau digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Menurut laporan The Nation Thailand, keputusan mahkamah berpaksikan petisyen yang difailkan oleh 36 senator, yang mendakwa Paetongtarn mengutamakan hubungan peribadi dengan Hun Sen melebihi kepentingan nasional.
Rakaman panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin digunakan sebagai bukti utama. Paetongtarn mengakui panggilan itu berlaku tetapi menegaskan rakaman berkenaan diperoleh secara tidak sah. Namun, mahkamah menolak hujah itu dan tetap menerima rakaman tersebut sebagai bahan bukti.
Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
Menerusi laporan Khaosod English pula, Paetongtarn telah dirakam meninggalkan bangunan kerajaan kira-kira dua jam selepas Mahkamah Perlembagaan mengumumkan pemecatannya pada Jumaat, 29 Ogos 2025. Sebelum beredar, beliau sempat menurunkan cermin tingkap kereta bagi membolehkan pihak media merakam gambarnya.
Pemecatan ini bukan sahaja menandakan berakhirnya pentadbiran Paetongtarn, malah menggegarkan kestabilan politik Thailand. Keputusan tersebut dijangka memperdalam perpecahan dalam koalisi pemerintah, mencetuskan protes di jalanan, dan menambah siri panjang kejatuhan pemimpin yang dikaitkan dengan dinasti politik keluarga Shinawatra.
Dengan keputusan ini, Thailand sekali lagi menyaksikan kejatuhan seorang Perdana Menteri daripada keluarga Shinawatra melalui campur tangan kehakiman. Perhatian kini tertumpu kepada siapa yang bakal menggantikan Paetongtarn untuk mengemudi kerajaan dalam suasana politik yang semakin tegang.








