Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Hasil bedah siasat terperinci mengesahkan punca kematian pelajar SMKA, Zara Qairina Mahathir, adalah akibat kecederaan otak traumatik teruk disertai ensefalopati hipoksik-iskemik, selari dengan diagnosis awal yang dikeluarkan pada 17 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata pemeriksaan dilakukan pada 10 Ogos oleh tiga pakar forensik – seorang Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dengan bantuan dua doktor dari Hospital Queen Elizabeth.
“Kecederaan yang ditemui pada tubuh mangsa adalah konsisten dengan penemuan awal,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman.
Baca juga:
- Remaja 14 tahun tikam rakan sekolah direman tujuh hari
- KPM pasang CCTV di sekolah berisiko buli – Fadhlina Sidek
- KPM tolak rotan, pilih nilai dan adab sebagai tunjang pendidikan
Task Force temui ketidakpatuhan prosedur
Dalam masa sama, pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 11 Ogos turut mengesan kelemahan serius dalam siasatan awal. Antara yang dikesan ialah kegagalan pegawai penyiasat memohon proses bedah siasat mengikut prosedur yang sepatutnya.
Kumar berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai berkenaan dan penyelianya kerana tiada penyeliaan sewajarnya.
“Ini kes melibatkan kematian. Prosedur siasatan tidak boleh diabaikan,” tegasnya.
Surat persetujuan enggan bedah siasat
Beliau turut memaklumkan, pihaknya menerima maklumat bahawa ibu mangsa pada awalnya menandatangani dokumen rasmi bertajuk Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri. Dokumen itu juga ditandatangani oleh doktor, pakar patologi dan pegawai penyiasat.
Bagaimanapun, Kumar menegaskan persetujuan itu tidak mengecualikan pegawai penyiasat daripada mematuhi prosedur undang-undang.
“Walaupun keluarga mempunyai hak menyatakan pendirian, proses siasatan tetap perlu berjalan mengikut garis panduan,” ujarnya.
Sumber: Malaysia Gazette, Harian Metro