Mahkamah UK putuskan panggil lelaki ‘botak’ adalah gangguan seksual | The Reporter

Mahkamah UK putuskan panggil lelaki ‘botak’ adalah gangguan seksual

Seorang lelaki botak menundukkan kepala, dengan inset gambar palu mahkamah di latar.
Tribunal UK putuskan panggilan ‘botak’ terhadap lelaki boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Memanggil seseorang “botak” mungkin dianggap gurauan oleh sesetengah orang. Namun di United Kingdom, panggilan itu telah menjadi punca seorang pekerja membawa kes ke mahkamah dan berakhir dengan keputusan undang-undang yang mendapat perhatian ramai.

Tribunal pekerjaan memutuskan perbuatan itu sebagai sex-related harassment atau gangguan berkaitan jantina di bawah Equality Act 2010. Dalam bahasa mudah, ia sering disamakan dengan gangguan seksual kerana ia melibatkan komen yang berkait rapat dengan ciri fizikal yang lazim dialami lelaki.

Gambar hiasan
Pertengkaran di tempat kerja jadi punca

Insiden berlaku pada Julai 2019 di sebuah syarikat pembuatan tempat Tony Finn bekerja selama 24 tahun. Dalam satu pertengkaran di bengkel, penyelia beliau, Jamie King, mengeluarkan kata-kata kesat “bald c***” iaitu gabungan perkataan “botak” dengan istilah lucah yang sangat menghina.

Bagi Tony, panggilan itu bukan sekadar gurauan kasar. Ia adalah serangan peribadi yang mengaibkan dirinya di hadapan rakan sekerja dan mewujudkan suasana kerja yang tidak selesa.

Baca juga:

Kebotakan dikaitkan dengan jantina lelaki

Panel tribunal mendapati kebotakan adalah ciri fizikal yang lebih kerap dialami lelaki berbanding wanita, menjadikannya berkait rapat dengan jantina. Menggunakan ciri itu sebagai bahan penghinaan disamakan dengan memberi komen terhadap ciri fizikal sensitif wanita seperti saiz payudara yang dilindungi undang-undang daripada gangguan.

Majikan Tony cuba merayu dengan alasan wanita juga boleh mengalami kebotakan. Namun, Employment Appeal Tribunal menolak rayuan tersebut. Hakim menegaskan gangguan berkaitan jantina tidak memerlukan ciri itu eksklusif kepada satu jantina sebaliknya memadai jika ia lazim dikaitkan dengan jantina tertentu.

Keputusan ini mengukuhkan dapatan bahawa panggilan tersebut adalah tidak diingini, menghina dan mencemar maruah, sekali gus memenuhi definisi gangguan di bawah Equality Act 2010. Kes Tony Finn kini menjadi rujukan penting di UK dan menjadi peringatan bahawa panggilan di tempat kerja, walaupun kelihatan remeh, boleh memberi kesan besar terhadap maruah seseorang serta membawa implikasi undang-undang.

Sumber: The Guardian

Related Posts