Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan bahawa tiada pihak berhak memonopoli erti patriotisme, apatah lagi menggunakan isu pengibaran Jalur Gemilang secara salah untuk membuli atau menekan orang lain.
Menurutnya, semangat cintakan negara boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara dan kesilapan teknikal dalam mengibarkan bendera wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ditangani mengikut undang-undang.
“Tidak perlulah mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh, apatah lagi mengugut untuk membuat protes di depan premis perniagaan yang terbabit atau ‘mengajar’ orang untuk mengibar bendera.
“Tindakan seperti itu adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Serah kepada pihak berkuasa
Anthony Loke berkata, pengibaran Jalur Gemilang mesti dilakukan dengan betul dan penuh penghormatan kerana ia simbol kedaulatan negara, malah terdapat undang-undang khusus untuk mengawal selia penggunaannya.
Beliau menjelaskan, sebarang salah guna atau kesilapan berkaitan bendera tertakluk di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan hanya pihak polis berperanan menguatkuasakannya berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.
Semarak perpaduan menjelang Hari Kebangsaan
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, beliau menyeru rakyat untuk menguatkan perpaduan, menghormati kepelbagaian dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Anthony turut mengingatkan agar polemik kecil tidak menenggelamkan semangat sambutan 31 Ogos yang seharusnya menjadi medan mengukuhkan semangat kebangsaan.
Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook








