Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu rakaman video tular meruntun hati ramai apabila seorang penghantar makanan dirakam melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap seekor kucing yang berjaya diselamatkan dari sebuah kondominium yang terbakar di Bangkok, Thailand.
Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna TikTok pluem_sora, dia menyatakan penghantar makanan berkenaan berlari naik ke atas semata-mata mahu selamatkan kucing tersebut.
“Kasihan tuan punya kucing. Masa orang lain turun, abang tu berlari naik semata-mata nak selamatkan kucing tu. Dia betul-betul sayangkan kucing. Sedih tengok, rasa nak menangis,” katanya.
Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
Menurut laporan Khaosod, penghantar makanan berkenaan yang juga merupakan seorang anggota bomba sukarela, bertindak pantas memasuki bangunan tersebut demi menyelamatkan kucing yang terperangkap dalam kebakaran itu.
Dalam rakaman video itu juga, lelaki terbabit dilihat tubuhnya dipenuhi kesan asap dan jelaga kebakaran, sambil memeluk seekor kucing dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia kemudian meletakkan kucing itu di atas lantai dan segera melakukan CPR bagi menyelamatkan nyawa haiwan tersebut.
Klip tersebut meraih perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata netizen memuji keberanian dan keprihatinan rider itu, serta mendoakan agar kucing tersebut selamat.
Menerusi ruangan komen, rider terbabit kemudian tampil mengesahkan dirinya individu dalam video tersebut, dan memaklumkan bahawa kucing berkenaan telah dihantar ke klinik veterinar dan kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan perubatan.
“Sayalah rider dalam video tu. Kucing tu dah sampai ke tangan doktor haiwan dan keadaannya stabil sekarang. Terima kasih kerana menghargai usaha saya,” tulisnya ringkas.








