Lelaki berperwatakan wanita didenda RM4,900 kerana galak maksiat di MiChat | The Reporter

Lelaki berperwatakan wanita didenda RM4,900 kerana galak maksiat di MiChat

Lelaki berperwatakan wanita memakai pelitup muka hitam diiringi pegawai ketika hadir ke mahkamah.
Mohamad Haikal Izzuwan Adun, 20, dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah mendorong maksiat melalui aplikasi MiChat. | Kredit gambar: Sinar Harian

Hakim tegur perbuatan beri imej buruk kepada Kelantan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki berperwatakan wanita dikenakan hukuman denda RM4,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada Rabu lalu selepas mengaku bersalah menggalakkan perlakuan maksiat menerusi aplikasi sosial MiChat pada tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Haikal Izzuwan Adun, 20, dari Kelantan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Kamalruazmi Ismail.

Menurut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 malam, 1 Oktober 2024 di sebuah rumah inap di Kerteh, Kemaman. Serbuan yang dijalankan turut menemui 13 barang kes berkaitan.

Baca juga:

Rayuan jaga nenek, ditinggal ibu bapa

Dalam rayuannya, Haikal memohon agar hukuman diringankan atas alasan menanggung nenek yang sakit serta menyatakan kekesalannya atas perbuatan tersebut. Dia turut memaklumkan hanya belajar sehingga Tingkatan Empat dan dibesarkan oleh nenek selepas ditinggalkan kedua ibu bapanya sejak kecil.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie.

Difahamkan, tertuduh telah ditangkap semula pada 20 Julai lalu selepas gagal hadir ke mahkamah. Dia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dan seorang penjamin pada 21 Julai.

Pada hari sebelumnya, dia turut dijatuhi hukuman denda RM2,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman selepas mengaku bersalah berlagak seperti perempuan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

“Perlu reda dijadikan sebagai lelaki” – Hakim

Dalam penghakimannya, Kamalruazmi menegaskan bahawa kesalahan dilakukan tertuduh memberi kesan besar kepada masyarakat dan menjejaskan imej negeri asalnya.

“Kita dijadikan sebagai lelaki, perlu reda. Kita ada mati, ada syurga dan neraka. Mahkamah beri pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan yang memberi persepsi tidak baik kepada negeri Kelantan,” katanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 enakmen sama dan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan denda RM4,900 itu dibayar sebelum jam 4 petang hari sama atau tertuduh berdepan hukuman penjara enam bulan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts