Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keluarga kepada Zara Qairina binti Mahathir mempersoalkan pelbagai kejanggalan pada keadaan fizikal jenazah yang menurut mereka bercanggah dengan dakwaan bahawa arwah jatuh sendiri dari tingkat tiga bangunan asrama.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 3 pagi. Menurut Syira Leizel Janice Abdullah, penjaga dan pewaris sah kedua arwah, terdapat beberapa petunjuk fizikal yang menimbulkan keraguan terhadap versi kejadian yang didedahkan kepada keluarga.
Tiada luka di muka, kecederaan dalaman terlalu parah
Zara didapati mengalami kecederaan yang sangat serius termasuk tengkorak pecah, kepala lembik, organ dalaman gagal berfungsi dan kaki serta tangan patah. Namun, perkara paling menghairankan bagi keluarga ialah:
- Wajah arwah langsung tiada luka atau calar.
- Tiada kesan lebam pada muka atau dahi.
- Tiada pendarahan di kepala, hanya di tapak kaki kiri yang luka terbelah.
- Posisi badan ketika dijumpai: terlentang sempurna, kepala hampir ke longkang, tangan di sisi, kaki kiri terlipat pelik.
Keadaan ini menurut Syira, tidak konsisten dengan insiden jatuh dari tempat tinggi.
“Jika benar dia jatuh dalam keadaan sedar, pasti ada kesan rintangan fizikal atau kecederaan lebih menyeluruh pada bahagian luar tubuh,” katanya.
“Tetapi kecederaan utama hanyalah dalaman dan wajahnya bersih. Ini membuatkan kami tertanya, adakah dia benar-benar jatuh sendiri?”
Baca juga:
- (Video) Aisar Khaled kesal dihalau ketika bantu mangsa banjir di Bali
- Ibu serah dua remaja kepada polis selepas rosakkan perpustakaan sekolah, rugi RM235,000
- Pemimpin sejati mesti tolak penindasan, perjuang hak manusia tanpa kira latar belakang – PM
Jatuh atau dicampak?
Keluarga menegaskan mereka tidak membuat tuduhan, namun berhak bertanya soalan-soalan yang wajar berdasarkan keadaan sebenar:
- Adakah Zara terjatuh dalam keadaan tidak sedar?
- Adakah beliau didorong atau dicampak dari atas?
- Adakah terdapat sebarang unsur kecederaan sebelum kejatuhan berlaku?
Berdasarkan laporan perubatan, doktor memaklumkan kecederaan utama Zara melibatkan bahagian tengkuk dan saraf tunjang yang dipercayai menyebabkan kegagalan sistem utama badan dan akhirnya kematian.
“Kesan kecederaan ini terlalu besar untuk dikaitkan dengan jatuh biasa. Posisi tubuh juga seperti diletakkan, bukan terhempas,” ujar Syira.
“Kami tidak menolak takdir, tetapi kami menolak untuk menerima jawapan yang longgar.”
Tiada CCTV, tiada saksi, tiada bunyi
Lebih membingungkan kata Syira, tiada pelajar atau warden tampil sebagai saksi utama kejadian. Sedangkan arwah sebelum ini memberitahu bahawa ramai pelajar berjaga sekitar jam 2 hingga 3 pagi untuk makan, berbual atau ke ruang dobi.
Namun, dalam kejadian yang sepatutnya melibatkan impak kuat atau jeritan, tiada seorang pun didakwa mendengar atau melihat apa-apa. Tiada juga rakaman CCTV dikemukakan setakat ini, menambah keraguan terhadap proses siasatan awal.
“Kami tidak akan menyimpulkan apa-apa. Tapi kami tidak boleh menolak hakikat bahawa keadaan fizikal arwah terlalu mencurigakan untuk dianggap sebagai ‘kemalangan biasa’,” katanya.
Keluarga terus menuntut agar siasatan kes ini dikendalikan secara menyeluruh dan bebas daripada sebarang pengaruh dalaman, khususnya melibatkan pihak sekolah atau jabatan berkaitan.
Sumber: FB Syira Leizel Janice Abdullah