'Lantaklah nak hidup ke nak mati' bukan ditujukan kepada Zayn Rayyan – Ismanira beri penjelasan | The Reporter

‘Lantaklah nak hidup ke nak mati’ bukan ditujukan kepada Zayn Rayyan – Ismanira beri penjelasan

Ibu bapa Zayn Rayyan
Ismanira dan suaminya hadir ke mahkamah berhubung kes pengabaian Zayn Rayyan | Kredit gambar: The Sun Malaysia

Ismanira nafi mesej bernada kasar ditujukan kepada anak autisme yang hilang

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis dimaklumkan bahawa mesej berbunyi “lantaklah nak hidup ke nak mati” yang dihantar oleh Ismanira Abdul Manaf kepada suaminya bukanlah ditujukan kepada anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin, yang hilang pada 5 Disember 2023.

Sebaliknya, menurut Ismanira, mesej berkenaan menggambarkan keadaan dirinya yang sedang cemas dan tertekan ketika anak mereka masih belum ditemui.

“Perkataan itu saya maksudkan ke atas diri saya. Saya sangat perlukan perhatian suami dan saya hantar perkataan begitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya,” katanya ketika memberi keterangan dalam prosiding bela diri hari keempat.

Penjelasan itu diberikan sebagai menjawab soalan tambahan peguamnya, Haresh Mahadevan, berhubung kandungan mesej di ‘hashtag lapan’.

Baca juga:

Telefon milik pasangan dianalisis, mesej disahkan wujud

Sebelum ini, juruanalisis komputer Asisten Superintendan Mohd Zaidi Abu Hassan mengesahkan mesej tersebut antara kandungan WhatsApp yang diekstrak daripada telefon bimbit yang dirampas pihak polis. Salah satu peranti tersebut menggunakan iCloud atas nama Ismanira, manakala satu lagi menggunakan akaun Google atas nama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.

Kedua-dua mereka sebelum ini didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu di kawasan kediaman mereka di Damansara Damai, antara 5 hingga 6 Disember 2023.

Namun pada Isnin lalu, Mahkamah memutuskan hanya Ismanira perlu membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, manakala suaminya dilepas dan dibebaskan. Jika sabit kesalahan, Ismanira berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan pada 6 Disember 2023 di aliran sungai berhampiran rumahnya, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts