Pempengaruh reka cerita hilang, Bomba buat laporan polis | The Reporter

Pempengaruh reka cerita hilang, Bomba buat laporan polis

Pasukan Bomba dan Penyelamat cuba menaikkan kereta yang tenggelam dipercayai milik isteri pempengaruh berkenaan.
Anggota penyelamat bertungkus lumus menaikkan kenderaan yang dipercayai milik isteri pempengaruh. Gambar: FB Balai Bomba Penyelamat Muar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor telah membuat laporan polis terhadap seorang pempengaruh dan adik lelakinya susulan tindakan mereka memberi maklumat palsu berhubung kehilangan individu itu di Sungai Tui, Bukit Kepong, Isnin lalu.

Ketua Zon 4 JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari berkata, laporan polis dibuat pada jam 11.30 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar atas nasihat Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Menurutnya, tindakan itu dianggap serius kerana telah menyebabkan pembaziran sumber, masa serta membabitkan risiko keselamatan anggota pasukan penyelamat.

“Ia juga mengganggu tugas kecemasan lain serta menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat jika tidak dibendung.

“Laporan ini dibuat supaya orang awam mengambil iktibar. Ini tindakan tidak wajar dan boleh jejaskan operasi sebenar,” katanya.

Baca juga:
Perbuatan terbongkar

Memetik laporan Berita Harian, Norshuhada memaklumkan seramai 30 anggota dan pegawai JBPM dari Muar, Labis dan Pagoh telah dikerah ke lokasi dalam operasi selama empat hari. Pasukan penyelamat air dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar turut digerakkan.

“Kami dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz pada pagi Sabtu bahawa lelaki itu sebenarnya selamat. Pasukan keselamatan berhari-hari berkampung mencari, tapi akhirnya perkara sebenar terbongkar,” katanya.

Terdahulu, Raiz Mukhliz mendedahkan lelaki berusia 38 tahun itu sebenarnya mereka cerita tentang kehilangannya, dengan bantuan adik lelakinya berusia 30 tahun yang bersubahat menolak kereta ke sungai dan berpura-pura mencari mangsa.

Perbuatan mereka terbongkar selepas polis mengesan keraguan dalam laporan dan siasatan lanjut mendedahkan lelaki itu melarikan diri ke negara jiran sebelum kembali ke tanah air pada Jumaat lalu.

Related Posts