Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah berskala besar di Kelantan selepas enam siri serbuan serentak di Pasir Mas dan Tumpat pada 27 Jun lalu.
Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu membawa kepada penahanan enam individu termasuk pasangan suami isteri, selain rampasan dadah jenis pil YABA seberat lebih 35 kilogram dengan nilai anggaran RM5 juta.
Pemangku Pengarah JSJN, YDH Datuk DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin bin Che Ali berkata, sindiket ini dipercayai aktif sejak 2022 dengan taktik menyimpan dadah di kandang lembu bagi mengaburi pihak berkuasa.
Pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu dikenal pasti sebagai suspek utama yang turut menggunakan operasi kedai makan, pusat kecantikan dan perniagaan dalam talian bagi menyembunyikan sumber kewangan hasil aktiviti haram.


Baca berita terkini:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Modus Operandi sembunyi dadah di kandang lembu
Serbuan pertama di Jalan Gajah Mati, Pasir Mas berjaya menahan seorang lelaki 34 tahun yang memandu Perodua Axia. Pemeriksaan dalam kenderaan dan rumah suspek menemui 227 gram pil YABA. Hasil penahanan suspek lain membawa kepada penemuan stor utama di sebuah kandang lembu di belakang rumah suspek, di mana hampir 20 kilogram dadah disembunyikan di bawah timbunan najis lembu bagi mengelak dikesan.
Dalam serbuan di Wakaf Baru, Tumpat, seorang lelaki 39 tahun turut diberkas bersama 15.4 kilogram pil YABA dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya. Beberapa serbuan lain di sekitar Pasir Mas turut membawa kepada tangkapan empat individu lain yang dipercayai memainkan peranan penting dalam rangkaian sindiket.




Aset mewah dirampas, nilai sitaan cecah RM6.1 juta
Selain dadah, polis menyita sembilan buah kenderaan mewah termasuk Mustang EcoBoost, Mercedes Benz, Honda Civic dan Toyota Hilux, motosikal, barang kemas, jam tangan mewah serta beg berjenama terkenal. Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dalam operasi ini dianggarkan mencecah RM6.15 juta, menjadikannya antara kejayaan besar JSJN bagi tahun ini.





Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah. Namun, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pengedaran dadah dan curi, manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Sindiket sasarkan pasaran luar Kelantan
Siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit bukan sahaja menyasarkan pasaran tempatan, tetapi dipercayai turut membekalkan pil YABA ke Lembah Klang dan Johor Bahru. Dadah yang dirampas dianggarkan mampu menampung permintaan lebih 177,000 penagih sekiranya tidak berjaya dipatahkan pihak berkuasa.
Kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.








