Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong, mempersoalkan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas, sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Pelantikan itu diluluskan menerusi surat rasmi yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkuat kuasa 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
Menerusi hantaran di Facebook, Firdaus turut berkongsi tanggungjawab yang perlu digalas oleh Ahli Lembaga Pelawat Hospital seperti yang termaktub dalam garis panduan.
“Antara peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital antaranya adalah bertanggungjawab menjelaskan isu berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan hospital kepada orang awam dari semasa ke semasa bagi menjaga nama dan imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mesej yang cuba disampaikan oleh pihak kementerian melalui pelantikan tersebut.
“Saya tertanya, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan & kerajaan apabila melantik tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital?
“Adakah pelantikan tauke vape itu menjaga imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam komuniti?” soalnya.
Menurut Firdaus, selepas beliau mendedahkan mengenai pelantikan tersebut, difahamkan Datuk Adzwan telah mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan berkenaan.
“Datuk Adzwan telah mengumumkan peletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau selepas perkongsian saya tentang tauke vape dilantik pagi tadi.
“Namun semakan saya sebentar tadi mendapati posting pengumuman peletakan jawatannya itu sudah tiada. Tidak pasti dipadamkan atau disembunyikan.
“Peletakan jawatan Datuk Adzwan sebenarnya masih tidak menjawab persoalan iaitu kenapa Menteri, KKM & kerajaan melantik seorang tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau?” katanya lagi.








