Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Program MyKasih atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA) memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan asas. Meskipun jumlah bantuan dilihat kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun ia merupakan satu nikmat besar buat mereka yang memerlukan.
Semalam, sistem MyKasih dilaporkan mengalami gangguan teknikal sehingga menyebabkan ramai penerima bantuan berdepan kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan asas.
Situasi berkenaan turut memaksa sebahagian daripada mereka meletakkan semula barangan yang telah diambil ke rak-rak makanan dan barangan lain.
Seorang wanita berkongsi pengalaman menyayat hati apabila melihat seorang lelaki terpaksa meletakkan semula susu anaknya selepas mendengar pengumuman daripada pegawai khidmat pelanggan mengenai gangguan sistem.

Dia turut terdengar perbualan antara lelaki itu dan isterinya yang berkata susu anak mereka sudah habis.
“Abang, susu kat rumah dah licin. Macam mana ni? Kita bagi anak minum susu pekat tambah air jelah ya?” ujar wanita itu dengan nada cemas.
Melihat keadaan tersebut, wanita berkenaan berasa sebak lalu menceritakan perkara itu kepada suaminya. Mereka kemudiannya menawarkan bantuan kepada pasangan terbabit.

Walaupun pada mulanya lelaki tersebut menolak, namun akhirnya dia menerima sumbangan berkenaan selepas suami wanita itu menjelaskan ia adalah untuk anaknya.
“Mula-mula dia tolak. Suami cakap, ‘Kalau abang tak nak, abang bagi je kat anak.’ Dia menangis. Dia cakap tak tahu dah nak cekau kat mana sebab dia baru je masuk kerja. Harap MyKasih jerlah untuk dia topup barang,” katanya.