Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bayangkan satu emel masuk ke peti masuk anda, lengkap dengan logo merah Netflix dan amaran akaun akan digantung dalam 48 jam. Tanpa sempat berfikir panjang, anda serahkan semua maklumat bank, kononnya untuk “verifikasi akaun”. Dalam sekelip mata, wang simpanan bertahun-tahun hampir lesap begitu sahaja.
Itulah pengalaman mencemaskan seorang pengguna Netflix yang berkongsi kisahnya di Facebook pada 27 Jun lalu. Lya Noor mendedahkan bagaimana emel palsu itu membuatkan dia nyaris kehilangan ribuan ringgit hanya kerana terpedaya dengan rekaan emel yang nampak sangat meyakinkan.
Logo & rekaan emel nampak “official”
“Saya kena scam petang semalam gais. Saya dapat emel dari Netflix (kononnya). Kata akaun Netflix saya akan disekat kalau tak sahkan akaun. Memandangkan saya memang pengguna tegar Netflix, jadi saya ingat benda ini betul,” katanya.
Lya mengakui cara emel itu direka sangat profesional hingga dia yakin ia benar-benar dihantar oleh pihak Netflix.
“Cara dia hantar emel pun guna kepala surat Netflix siap warna merah, fuyooo! Saya memang ingat emel itu dihantar oleh Netflix. Jadi, saya kemaskini maklumat, isi segala benda termasuk nombor kad bank, CVV bagai dan sahkan tranksaksi,” ceritanya.
Cubaan transaksi RM4,000 gagal
Selepas memasukkan maklumat perbankan, Lya menerima notifikasi cubaan transaksi lebih RM4,000 daripada akaunnya.
“Tapi tak berjaya, sebab apa? Sebab baki akaun saya tak cukup RM4,000 pun,” katanya.
Dalam keadaan panik, dia cuba memindahkan baki sedia ada ke akaun suaminya. Namun gagal kerana baki akaun tiba-tiba menjadi “baki tidak mencukupi”. Lya segera menghubungi pihak bank untuk mendapatkan bantuan.
“Saya terus menghubungi pihak bank mereka perasan memang ada cubaan scam tapi tak berjaya. Jadi kad bank dan segala perkhidmatan perbankan secara online disekat. Dan kena tunggu hari ini untuk buat kad baharu,” jelasnya.
“Terpaksa pinjam duit adik”
Tanpa wang tunai di tangan, Lya terpaksa meminta bantuan adiknya untuk berbelanja sementara menunggu kad baharu disediakan.
“Cash pun langsung tak ada kat tangan. So terpaksa la pinjam duit adik. Beringatlah, jangan tertipu macam saya,” pesannya kepada orang ramai.








