Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut kenyataan rasmi AGC, rayuan tersebut merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun 2025 yang membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan yang melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Sebagai rekod, Mahkamah Tinggi sebelum ini telah mensabitkan beliau atas keempat-empat pertuduhan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda berjumlah RM10 juta.
AGC menjelaskan bahawa keputusan untuk memfailkan Notis Rayuan dibuat setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, dan langkah ini adalah bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut.
“Setelah meneliti dan membincangkan keputusan tersebut, jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan hari ini bagi merayu pelepasan dan pembebasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menegaskan bahawa proses rayuan ini adalah sebahagian daripada sistem kehakiman negara yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah. AGC menambah bahawa pemfailan rayuan merupakan amalan biasa dalam sistem perundangan dan tidak harus ditafsirkan sebagai prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” kata kenyataan itu.








