FIFA mungkin haramkan Iran daripada Piala Dunia 2026 | The Reporter

FIFA mungkin haramkan Iran daripada Piala Dunia 2026

Gianni Infantino dan Donald Trump memegang jersi Piala Dunia 2026 dengan nama "Trump" di Rumah Putih
Presiden FIFA, Gianni Infantino menyerahkan jersi Piala Dunia 2026 kepada Donald Trump dalam pertemuan rasmi di Rumah Putih | Kredit gambar: Getty Images

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Iran layak ke Piala Dunia 2026 tetapi konflik dengan AS boleh menyebabkan mereka digantung
• FIFA pernah menggantung Rusia dan Yugoslavia kerana konflik peperangan
• Warga Iran dilarang memasuki AS, menjadikan kehadiran penyokong mustahil meskipun pasukan layak

Ketika dunia berada di ambang peperangan, sukan bola sepak mungkin bukan lagi keutamaan. Namun, situasi geopolitik global, khususnya konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, kini mula memberi kesan kepada perjalanan Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sebagai tuan rumah utama, Amerika Syarikat (AS) dijadualkan menganjurkan 78 daripada 104 perlawanan. Namun pada masa yang sama, pentadbiran Donald Trump merupakan antara pihak terlibat secara langsung dalam ketegangan ketenteraan semasa. Trump sebelum ini mendakwa AS telah berjaya melancarkan serangan ke atas sasaran tentera Iran dan menyatakan bahawa keadaan di Israel kini lebih selamat.

“Kami capai kejayaan besar malam ini. Israel kini jauh lebih selamat,” kata Trump.

FIFA dalam dilema: Benarkan Iran atau ikut jejak Rusia?

Presiden FIFA, Gianni Infantino, dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Trump. Ketika Kejohanan Kelab Dunia sedang berlangsung di AS, beliau dikatakan bersetuju dengan permintaan supaya mesej anti-rasisme tidak diketengahkan. Tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada FIFA mampu membuat keputusan secara bebas dalam isu penyertaan Iran.

Iran merupakan pasukan keenam yang layak ke Piala Dunia 2026 dan kedua dari Asia selepas Jepun. Namun sejarah menunjukkan FIFA dan UEFA tidak teragak-agak menggantung negara yang terbabit dalam konflik ketenteraan. Rusia digantung selepas menceroboh Ukraine, manakala Yugoslavia turut diharamkan daripada kejohanan pada awal 1990-an akibat penglibatannya dalam perang Bosnia.

Walaupun tiada pengumuman rasmi, ramai pemerhati percaya FIFA kini berada dalam tekanan politik dan Iran berisiko besar untuk digantung.

Iran layak, tapi penyokong tidak dibenarkan masuk ke AS

Satu lagi isu besar ialah sekatan perjalanan yang dikenakan oleh AS. Warga Iran termasuk dalam senarai negara yang dilarang memasuki AS di bawah pentadbiran Trump, sama ada untuk tujuan pelancongan mahupun rasmi.

“Republik Islam Iran disenaraikan bersama Afghanistan, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Libya, Myanmar, Somalia, Sudan dan Yaman,” lapor Planet Football via Independent.

“Rakyat negara-negara ini dilarang sepenuhnya memasuki AS, sama ada menggunakan visa penduduk tetap atau visa sementara.”

Ini bermakna, walaupun pasukan Iran dibenarkan bertanding, penyokong mereka hampir pasti tidak dapat hadir untuk memberi sokongan, sekali gus mencabar semangat keterangkuman yang sering dilaungkan FIFA dalam setiap kejohanan besar.

Melihat kepada ketegangan yang semakin meruncing di Timur Tengah, tidak mustahil keputusan terakhir tentang penyertaan Iran akan ditentukan oleh pihak lain dan bukan sepenuhnya di tangan FIFA.

Related Posts