Rusia beri amaran kepada Amerika, jangan masuk campur konflik Israel - Iran | The Reporter

Rusia beri amaran kepada Amerika, jangan masuk campur konflik Israel – Iran

Donald Trump dan Vladimir Putin dalam isu konflik Israel-Iran
Trump perlekeh tawaran damai Putin, Rusia beri amaran keras kepada AS

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Rusia beri amaran kepada AS agar jangan campur tangan, bimbang cetus krisis lebih buruk
• Trump sindir Putin, desak selesaikan isu Ukraine dulu sebelum jadi ‘pendamai’
• Iran belum minta bantuan ketenteraan dari Rusia, tapi Moscow sedia beri bantuan kemanusiaan jika perlu

Rusia mengingatkan Amerika Syarikat agar tidak terlibat secara langsung dalam konflik ketenteraan antara Israel dan Iran, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu boleh membawa kepada krisis yang lebih parah.

“Kami ingin memberi amaran khusus kepada Washington agar tidak campur tangan secara ketenteraan dalam situasi ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova.

Amaran itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan kenyataan pada Rabu yang beliau masih mempertimbangkan kemungkinan untuk membantu Israel.

“Saya mungkin akan lakukannya, mungkin juga tidak,” katanya.

Trump turut menyindir tawaran damai yang dibuat oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, dengan menyuruh pemimpin itu menyelesaikan dahulu perang di Ukraine.

“Selesaikan dulu konflik Ukraine sebelum bercakap soal damai,” sindirnya.

Putin dan Xi sepakat kutuk Israel, tetapi Iran belum minta bantuan

Menyusuli kenyataan itu, Presiden Putin dan Presiden China, Xi Jinping mengadakan panggilan telefon dan sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel terhadap Iran. Namun begitu, Putin mendedahkan Iran tidak meminta bantuan ketenteraan dari Rusia sejak serangan Israel bermula minggu lalu.

Ketika ditanya apa tindakan Rusia sekiranya Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dibunuh, Putin berkata, “Saya tidak mahu bincangkan kemungkinan itu langsung.”

Rusia sedia bantu, tapi bukan dengan senjata

Walaupun enggan melibatkan tentera, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menjelaskan Rusia bersedia menghantar bantuan kemanusiaan jika diminta oleh Tehran.

Peskov juga memberi reaksi terhadap kenyataan Trump yang memperlekeh tawaran damai Putin.

“Tawaran sebegini boleh diterima oleh negara-negara yang terlibat secara langsung dalam konflik ini.” – Agensi

Related Posts