Kerajaan Thailand bakal tumbang selepas audio sulit PM bocor kepada umum | The Reporter

Kerajaan Thailand bakal tumbang selepas audio sulit PM bocor kepada umum

Paetongtarn Shinawatra menghadiri acara awam dengan senyuman
Paetongtarn Shinawatra tampil ceria di khalayak ramai di tengah krisis politik yang sedang melanda | Kredit gambar: Matt Hunt/NurPhoto/picture alliance

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Perbualan telefon sulit antara PM Paetongtarn dan Hun Sen bocor, cetus kemarahan terhadap kepimpinan Thailand
• Parti Bhumjaithai tarik sokongan, menyebabkan kerajaan kehilangan majoriti dalam parlimen
• Pembangkang desak parlimen dibubar, berisiko cetus pilihan raya baharu di Thailand

Kerajaan Thailand kini berada di ambang kejatuhan selepas Parti Bhumjaithai menarik balik sokongan daripada gabungan pemerintah, susulan kebocoran perbualan telefon antara Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra dan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen. Audio tersebut mencetuskan ketegangan besar dalam kalangan tentera dan rakyat Thailand.

Dalam perbualan yang berlaku Isnin lalu dan dibocorkan kepada umum pada Rabu, Paetongtarn merujuk Hun Sen sebagai “pakcik” sambil mengeluh mengenai kritikan yang diterimanya berkaitan isu sempadan. Beliau turut meminta agar Hun Sen tidak mempercayai kenyataan pihak lawan termasuk seorang jeneral Thailand yang disifatkannya hanya mahu “nampak hebat”.

“Dia (jeneral Thai) hanya mahu kelihatan hebat dan bercakap perkara yang tak membantu negara. Tapi apa yang kami mahu hanyalah keamanan,” kata Paetongtarn kepada Hun Sen.

Ketegangan bermula dari insiden di Segi Tiga Zamrud

Krisis bermula hujung bulan lalu apabila seorang askar Kemboja maut dalam pertembungan bersenjata di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dikenali sebagai ‘Segi Tiga Zamrud’, iaitu kawasan pertemuan sempadan Thailand, Kemboja dan Laos. Kedua-dua negara mendakwa bertindak atas dasar mempertahankan diri.

Pertikaian ini sudah berlarutan sejak awal abad ke-20, melibatkan kawasan seperti kuil purba Preah Vihear yang masih belum ditandai sempadannya secara rasmi. Kemboja telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), namun Thailand enggan menyertai kerana tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu.

Hubungan dua hala semakin renggang

Kemboja mengambil tindakan tegas selepas Thailand enggan melonggarkan kawalan sempadan. Mereka menghentikan import buah dan sayur dari Thailand, menggantung tayangan drama Thai di televisyen dan pawagam, menutup pusat sempadan utama dan memperlahankan jalur internet dari Thailand.

Hun Sen menyalahkan pihak tentera Thai yang didakwanya mencetuskan ketegangan dan menyatakan kerajaan Thailand gagal mengawal angkatan tenteranya sebagaimana Kemboja.

Reaksi Perdana Menteri Paetongtarn bagaimanapun mendapat kecaman kerana dilihat terlalu lembut berbanding ketegasan yang ditunjukkan pihak tentera.

Krisis gabungan selepas audio bocor

Selepas audio bocor, Parti Bhumjaithai, sekutu kedua terbesar dalam kerajaan, segera menarik diri daripada gabungan. Dalam kenyataan rasmi, parti itu berkata Paetongtarn telah “mencemarkan maruah negara dan angkatan tentera” serta menuntut agar beliau mengambil tanggungjawab.

“Bhumjaithai menyeru Paetongtarn bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan rakyat dan tentera kehilangan maruah,” kata kenyataan tersebut.

Penarikan itu menyebabkan kerajaan kehilangan 69 kerusi parlimen, menjadikan Parti Pheu Thai hanya tinggal majoriti tipis. Jika satu lagi parti keluar, Thailand berisiko mengadakan pilihan raya lebih awal.

Ketua pembangkang, Natthaphong Ruengpanyawut turut mendesak parlimen dibubarkan.

“Ini adalah untuk kembalikan kuasa kepada rakyat dan mengelakkan kesilapan ini dimanipulasi oleh pihak tertentu yang boleh merosakkan sistem demokrasi kita,” katanya. – Agensi

Related Posts