Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• CUEPACS ingatkan penjawat awam jangan aktif TikTok, Facebook semasa kerja
• Langgar peraturan tatatertib jika guna media sosial tanpa sebab rasmi
• Fokus, disiplin dan reputasi perkhidmatan jadi keutamaan
Walaupun media sosial kini menjadi sebahagian rutin harian, CUEPACS mengingatkan penjawat awam agar tidak leka melayari TikTok atau Facebook ketika waktu kerja walaupun sekadar ‘skrol sekejap’.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat menyifatkan kecenderungan sebahagian penjawat awam untuk aktif di media sosial ketika bertugas sebagai satu isu yang perlu diberi perhatian, bukan hanya kerana soal produktiviti tetapi juga soal integriti.
Menurutnya, peraturan berhubung perkara ini sebenarnya telah lama wujud termasuk dalam surat edaran rasmi JPA sejak 2013 tetapi mungkin semakin diabaikan seiring perubahan gaya hidup digital.
“Penggunaan media sosial sewaktu bertugas tanpa keperluan rasmi boleh dianggap menjejaskan produktiviti dan menyalahi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.
Antara tuntutan kerja dan godaan skrol berterusan
Walaupun tiada statistik rasmi dikongsi, Adnan memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mempunyai sistem pemantauan terhadap penyalahgunaan waktu kerja. Namun bagi CUEPACS, isu ini bukan sekadar soal hukuman. Ia juga melibatkan persepsi rakyat terhadap penjawat awam.
“Oleh itu, CUEPACS menasihatkan semua penjawat awam agar mematuhi garis panduan ini demi menjaga integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam,” katanya.
Malah katanya lagi, media sosial sepatutnya dimanfaatkan secara positif sebagai saluran penyebaran maklumat yang membina, bukan tempat menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap jabatan atau kerajaan secara terbuka.
“Integriti dan fokus terhadap tugas adalah asas kepada keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam negara,” tegasnya.








