'Brek, tayar tak ada masalah', Anthony Loke ulas laporan awal kemalangan bas UPSI | The Reporter

‘Brek, tayar tak ada masalah’, Anthony Loke ulas laporan awal kemalangan bas UPSI

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media mengenai dapatan awal laporan kemalangan bas UPSI
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengulas laporan awal kemalangan bas UPSI yang berlaku di Gerik pada Isnin lalu. Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan, laporan awal kemalangan bas di Gerik, Perak yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi Isnin lalu mendapati tiada bukti kegagalan sistem mekanikal seperti brek dan tayar yang menjadi punca kejadian.

Namun, menurut beliau, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca daripada faktor-faktor lain seperti manusia, keadaan jalan dan sebagainya.

Beliau berkata siasatan awal teknikal oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menunjukkan sistem brek dan keadaan tayar bas berada dalam keadaan memuaskan serta mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Puspakom, keadaan fizikal bagi brek bas, kesemua brek lining dan brek dram bagi semua gandar masih berada dalam keadaan yang memuaskan.

“Tiada sebarang ketidakseragaman pada brek dram mahupun kenipisan pada brek lining. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tiada petunjuk kegagalan mekanikal yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan tersebut.

“Pemeriksaan fizikal tayar juga mendapati ketebalan bunganya dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan oleh JPJ,” tambahnya.

Terdahulu, kemalangan tragis itu berlaku ketika bas membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu, sebelum hilang kawalan dan melanggar sebuah Perodua Alza di KM53 JRTB. Kejadian itu meragut 15 nyawa manakala 33 lagi cedera dan sedang dirawat di beberapa hospital di Perak dan Kedah.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts