Bayi 17 hari kritikal, ibu bapa mohon bantuan RM120,000 untuk pembedahan jantung | The Reporter

Bayi 17 hari kritikal, ibu bapa mohon bantuan RM120,000 untuk pembedahan jantung

Bayi 17 hari kritikal dirawat di NICU, ibu mohon bantuan RM120,000
Nur Syifa Iffiya masih dirawat di NICU dan perlukan pembedahan jantung segera

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pasangan suami isteri dari Padang Serai, Kedah merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung anak bongsu mereka yang baru berusia 17 hari, Nur Syifa Iffiya Mohd Shafarid Iqbal.

Bayi itu dikesan mengalami masalah jantung kongenital sejak dilahirkan pada 26 Mei lalu, termasuk Transposisi Arteri Besar (TGA), Kecacatan Septum Atrium (ASD) dan Duktus Arteriosus Patensi (PDA). Akibat komplikasi itu, dia mengalami gejala kebiruan dan kekurangan oksigen seawal dua jam selepas kelahiran sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk rawatan lanjut.

“Doktor beritahu keadaan itu menyebabkan anak saya perlu bergantung ubat bagi mengekalkan tahap oksigen dan masih dirawat di NICU.

“Anak saya perlu menjalani pembedahan dalam tempoh sebulan selepas dilahirkan dan jika ditangguh, fungsi jantung akan terus merosot dan peluang bagi terus hidup juga semakin rendah,” kata ibunya, Nur Shuhada Mohd Yusoff, 34.

Pasangan itu yang mempunyai dua lagi anak lelaki berusia tujuh dan empat tahun kini hanya mampu menyediakan RM7,000 daripada jumlah keseluruhan RM120,000 yang diperlukan untuk pembedahan. Bapanya, Mohd Shafarid Iqbal Shehidan, 33, bekerja sebagai juruteknik, manakala Nur Shuhada sedang dalam pemulihan selepas bersalin serta pernah menghidap hipertensi ketika hamil.

“Kami amat berterima kasih atas sumbangan orang ramai bagi memastikan anak bongsu kami dapat jalani pembedahan segera,” tambahnya.

Menurut Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, pihaknya kini menguruskan kutipan dana untuk membantu keluarga ini.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian hotline One Hope di 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192 untuk maklumat lanjut dan saluran bantuan.

Sumber: Harian Metro (Zuhainy Zulkiffli)

Related Posts