Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menegaskan bahawa tiada caj dikenakan kepada orang awam yang berkunjung ke Pantai Teluk Senangin untuk tujuan riadah, bersantai atau berkelah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan di media sosial mengenai individu tertentu yang mengenakan bayaran kepada pengunjung pantai tersebut.
MPM menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak dibenarkan dan bertentangan dengan dasar pengurusan pantai awam. Pantai Teluk Senangin adalah pantai awam yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan MPM tidak pernah melantik mana-mana individu, persatuan atau organisasi untuk mengutip bayaran di sana. Jika ada pihak mendakwa mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, ia adalah salah di sisi undang-undang.
Menurut kenyataan itu lagi, MPM telah mengeluarkan notis pada 15 Ogos 2024 yang menjelaskan tiada sebarang caj dikenakan bagi aktiviti perkelahan dan notis sama juga telah dipasang di kawasan tersebut. Tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
Tindakan penguatkuasaan
MPM turut memaklumkan bahawa satu operasi penguatkuasaan bersama Polis Daerah Manjung telah dijalankan susulan aduan penyewaan kerusi pelampung tanpa kebenaran. Setakat ini, 10 permit telah dikeluarkan oleh MPM tetapi hanya 3 pengusaha yang aktif dan mematuhi syarat.
Antara syarat utama adalah larangan meletakkan peralatan sebelum penyewaan disahkan serta larangan mengutip bayaran bagi penggunaan tapak pantai selain dari sewaan kerusi pelampung. Dalam operasi sitaan tersebut, 6 tindakan sitaan dilakukan melibatkan pelbagai peralatan seperti kerusi, meja, khemah dan pelampung.
Jumlah sitaan termasuk 220 kerusi,19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah.
Terdahulu tular luahan kekecewaan pengunjung yang mendakwa diminta menyewa meja dan kerusi ketika berkunjung ke pantai berkenaan. Dalam video tersebut, pengunjung meluahkan rasa hampa kerana tidak dapat menikmati pemandangan pantai, sebaliknya hanya melihat deretan kerusi merah dan putih memenuhi kawasan pantai.








