Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas mengaku bersalah atas cubaan melakukan hubungan terlarang bersama seorang juruelektrik, guru wanita yang dikenali sebagai Cikgu Fadilah tampil membuat laporan polis berikutan tersebarnya satu video seks yang didakwa melibatkan dirinya.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, wanita berusia 31 tahun itu mendakwa maruahnya tercalar apabila video tersebut mula beredar dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah memeriksa telefon bimbit guru berkenaan dan juga lelaki yang digelar ‘Abang Wiring’, namun video yang dimaksudkan tidak ditemui dan dipercayai telah dipadam,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.
Rabu lalu, Cikgu Fadilah dan Abang Wiring atau nama sebenarnya Muhammad Hairul Ezuan Hamzah, 31, masing-masing mengaku bersalah atas cubaan melakukan persetubuhan luar nikah di Mahkamah Tinggi Syariah Ayer Keroh.
Kedua-duanya dikenakan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan Cikgu Fadilah kini tidak lagi bertugas di sekolah asalnya.
“Dia ditugaskan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri buat masa ini,” katanya.