Pemandu lori muatan batu tidak mengaku salah sebabkan kematian 9 anggota FRU | The Reporter

Pemandu lori muatan batu tidak mengaku salah sebabkan kematian 9 anggota FRU

Tertuduh kes kemalangan lori muatan batu yang ragut 9 anggota FRU diiringi polis ke mahkamah
Rudi Zulkarnain Mat Radi, pemandu lori muatan batu, hadir ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan atas sembilan pertuduhan kematian anggota FRU dalam nahas 13 Mei lalu. Sumber gambar: Bernama

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemandu lori muatan batu, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Hilir Perak, 13 Mei lalu.

Lapor Harian Metro, pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pagi semalam, Jumaat, 16 Mei 2025.

Pertuduhan dibuat secara berasingan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, melibatkan kesalahan memandu lori jenis Hino bernombor pendaftaran AKL 4674 secara berbahaya sehingga mengorbankan sembilan nyawa.

Mangsa yang maut ialah S Perumal, Mohd Roslan Abd Rahim, Mohd Pozli Jaudin, Nurit A.K. Pandak, Amiruddin Zabri, Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Akmal Muhamad, Damarrulan Abdul Latif dan Akmal Wafi Annuar.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes. Beberapa syarat tambahan juga dibenarkan mengikut permintaan pendakwaan.

Insiden tragis itu sebelum ini menggemparkan negara apabila trak dinaiki anggota FRU bertembung dengan lori muatan batu sekitar jam 9.05 pagi, menyebabkan sembilan maut, lima parah dan empat lagi cedera. Kesemua anggota terlibat dalam perjalanan menjalankan tugasan rasmi ketika kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin memaklumkan, pemandu lori terbabit mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Dia ditahan pada hari kejadian untuk siasatan lanjut.

Related Posts