“Berdosa ke kalau aku terfikir, kalau bercerai pun tak rugi?” — begitu luahan Nurainina Emelin di platform Threads yang mengundang perhatian lebih 350,000 pembaca, selepas berkongsi kisah kecil tetapi penuh makna tentang suaminya yang enggan membelikannya tumbler berharga RM30.
Luahan kecil, makna besar
Menurut Nurainina, dia hanya meminta satu benda kecil. Namun jawapan suaminya membuatkan hati terasa jauh.
“Tunggu dapat kerja gaji besar,” sedangkan suaminya kini sudah bergaji hampir RM3,000 sebulan.

Dalam luahan asalnya, Nurainina menulis:
“Aku minta suami aku belanja tumbler harga RM30. Jawapannya, tunggu dia dapat kerja gaji besar. Ya Allah tak pernah aku minta belanja gelang emas atau benda mahal-mahal. Gaji sebulan almost RM3,000 itupun tak pernah hulur nafkah. Sekadar memenuhi syarat bagi aku tempat tinggal dan makan.”
“Tunggu gaji besar” yang menyakitkan hati
Baginya, perkara sebenar yang menyakitkan bukan soal duit, tetapi cara suaminya menjawab yang tidak menyenangkan hati.
“Cara lelaki ni jawab menyakitkan hati. (Tunggu kerja gaji besar). Percayalah, kalau ini jawapan dia, gaji dia takkan besar.”
Beliau turut menyentuh bahawa jika benar suaminya tidak mampu, cukuplah jika memberi respon yang menenangkan.”
“‘InshaAllah sayang, nanti abang usahakan. Doalah ada lebih. abang belikan k’ atau ‘Abang bulan ni tak cukuplah syg. Ni ambil dulu RM10, nanti ada lagi abang bagi. Kumpul dulu k’.”
Bukan soal harga, tapi soal usaha dan emosi
Nurainina menjelaskan, rasa untuk berpisah bukanlah kerana benci, tetapi rasa penat dan lelah emosi. Lebih pedih, apabila wanita tidak pernah dipujuk, tidak disambut dengan usaha, dan dilayan seperti tidak layak untuk dihargai.
“Benda nampak simple, tapi akan buat perkahwinan kau hilang spark. Suami birthday, kita tiup belon sendiri, beli kek murah ke, lilin ke, semua kita usahakan. Tapi bila birthday kita, suami langsung tak ingat pun. Tak ada effort langsung nak celebrate. Ucap pun tak.”
Respons selebriti dan perbincangan netizen
Kisah ini mencetus perdebatan hangat dalam kalangan netizen, termasuk selebriti terkenal, Ika Nabella.
“Nak tumbler apa ni? Mai I hadiahkan kat you. I tak back up husband you tau, tak miskin pun dia happykan you, RM30 saja. But let’s look at the bigger picture, ramai suami goyang teloq, isteri provide a-z lagi sedih. Peringatan ini untuk I juga. Bila kita bersyukur, Allah janji akan bagi lebih lagi. Semoga kita tak tergolong dalam golongan yang kufur nikmat.”
Walaupun sesetengah netizen bersetuju bahawa isteri seharusnya lebih bersyukur, ramai juga yang bersetuju dengan Nurainina — mengatakan bahawa kesedihan wanita itu berasas dan wajar difahami dari sudut emosi, bukan semata-mata wang ringgit.
Ada yang berkongsi pengalaman peribadi bagaimana mereka sanggup berusaha demi pasangan walaupun tiada wang. Tetapi apabila giliran mereka, suami tidak melakukan sebarang usaha — tiada kejutan, tiada ucapan, malah terlupa terus hari penting.
Malah, jika benar suami tidak mampu, dia masih boleh jawab dengan lembut dan memberi harapan. “Dia cuma kecil hati dengan reaksi suami dia,” tulisnya.
Nafkah wajib dan penghargaan suami
Sementara itu, ramai yang turut menyemak kembali apa sebenarnya tanggungjawab nafkah seorang suami terhadap isterinya. Berdasarkan panduan yang pernah dikongsikan oleh Ustaz Wadi Annuar, nafkah wajib merangkumi perkara asas seperti tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan, alat mandi dan pendidikan.
Sebaliknya, barangan seperti tumbler, hadiah, barangan kemas, skincare atau alat solek bukan termasuk dalam kategori wajib — namun jika suami mampu, pemberian seperti ini boleh menjadi tanda penghargaan yang menyemai kasih sayang dalam rumah tangga.
Apa sebenarnya yang diminta wanita?
Jadi, adakah benar wanita terlalu meminta-minta atau sebenarnya mereka hanya mahu rasa dihargai walaupun dalam bentuk yang paling kecil?
Apa pandangan anda? Kongsi di Facebook & Instagram The Reporter – kami mahu dengar suara anda.








