Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan larangan penjualan produk rokok elektronik atau vape di seluruh kawasan di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkuat kuasa 1 Ogos 2025, sebagai langkah tegas menangani isu kesihatan awam.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 23 April lalu dan dilihat sebagai satu tindakan proaktif dalam membendung penggunaan vape, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada produk tersebut.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, YB Dato’ Haji Wan Sukairi bin Wan Abdullah, kerajaan negeri tidak akan meluluskan sebarang lesen perniagaan kepada premis yang menjual vape, selaras dengan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di setiap PBT.
Selain itu, syarat-syarat lesen sedia ada akan diperkemaskan bagi memastikan larangan ini dikuatkuasakan sepenuhnya. Premis yang masih beroperasi selepas tarikh penguatkuasaan akan dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun, penyitaan barangan, malah berdepan pendakwaan di mahkamah.
Kerajaan negeri juga menetapkan bahawa tiada sebarang bentuk tajaan atau pengiklanan daripada syarikat pengeluar atau pengedar vape akan diterima dalam mana-mana program atau acara rasmi kerajaan.
Dalam pada itu, kebajikan pengusaha dan pekerja kedai vape turut diberi perhatian apabila mereka ditawarkan penyertaan dalam program pembangunan keusahawanan serta bantuan untuk beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan melalui kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
Tempoh lanjutan selama tiga bulan turut diberikan bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2025 sebagai fasa peralihan sebelum larangan penuh dikuatkuasakan. Ini termasuk penarikan semula iklan-iklan berkaitan perniagaan vape yang masih wujud dalam tempoh tersebut.
Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar memberi kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri Terengganu yang lebih sihat dan selamat.








