Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang ketua balai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ditahan selepas disahkan positif empat jenis dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Jumaat lalu.
Pegawai lelaki berusia 43 tahun itu kini ditukarkan serta-merta ke Bilik Gerakan IPK Pulau Pinang sebagai langkah awal tatatertib, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam sidang media, hari ini.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana salah laku jenayah, tidak kira pangkat atau kedudukan. Tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang yang ada,” katanya.
Serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut menahan 17 individu termasuk pegawai berkenaan. Hasil saringan awal air kencing menunjukkan pegawai itu positif dadah selepas dipercayai mengambil jus bercampur bahan terlarang.
Media sebelum ini melaporkan, pegawai tersebut dipercayai berada di pusat hiburan atas kapasiti peribadi dan bukan tugasan rasmi. Rusdi menegaskan bahawa anggota polis tidak dibenarkan mengunjungi kelab malam kecuali atas urusan kerja dan dengan kebenaran ketua jabatan.
Kes ini turut disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan pegawai itu juga akan berdepan siasatan dalaman dan tindakan tatatertib.
Ketua Polis Kuala Lumpur itu turut memberi peringatan kepada semua anggota dan pegawai supaya menjaga imej pasukan dan tidak sesekali terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Insiden ini sekali lagi mengundang perhatian ramai terhadap keperluan penambahbaikan pemantauan dalaman pasukan keselamatan serta ketegasan dalam menangani salah laku dalam kalangan penguat kuasa.
Sumber : Buletin TV3








