Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengguna di Amerika Syarikat yang gemar berbelanja di platform e-dagang popular seperti Temu dan Shein hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk menikmati harga semasa sebelum kenaikan harga mula dilaksanakan.
Ini susulan penguatkuasaan tarif import baharu oleh kerajaan AS ke atas barangan dari China, termasuk pemansuhan kelonggaran cukai untuk bungkusan kecil.
Di bawah tarif baharu ini, semua bungkusan yang dihantar dari China akan dikenakan kadar tarif sebanyak 145%.
Pada masa sama, peruntukan de minimis yang membolehkan barangan bernilai kurang daripada $800 memasuki AS tanpa dikenakan cukai import dijangka tamat pada 2 Mei 2025.
Akibat perubahan ini, Temu dan Shein telah mengumumkan bahawa mereka akan menaikkan harga produk mereka mulai minggu hadapan.
Menerusi kenyataan di laman web masing-masing, kedua-dua syarikat menyatakan bahawa kos operasi mereka telah meningkat ekoran perubahan dasar perdagangan global.
“Berikutan perubahan pada peraturan perdagangan dan tarif, kos operasi kami telah meningkat,” jelas Temu dan Shein dalam kenyataan mereka.
“Bagi memastikan kualiti produk tidak terjejas, kami akan membuat pelarasan harga bermula 25 April 2025.”
Namun begitu, kedua-dua platform memberi jaminan bahawa mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan harga yang rendah dan meminimumkan kesan kepada pengguna.
Mereka juga menegaskan komitmen untuk terus menjadikan fesyen dan produk gaya hidup mampu dimiliki semua lapisan masyarakat.
Sementara itu, para pengguna di AS dilaporkan telah mula membuat pembelian awal sebagai persediaan menghadapi kenaikan harga yang dijangka.
Menurut laporan Bloomberg, jualan Temu dan Shein melonjak sepanjang bulan Mac dan April apabila ramai pengguna berbelanja lebih awal untuk mengelakkan kesan kenaikan tarif.
Shein mencatat peningkatan hasil sebanyak 29% pada bulan Mac berbanding tahun sebelumnya, manakala dalam 11 hari pertama April sahaja, peningkatan mencecah 38%.
Temu pula mencatat lonjakan lebih besar, masing-masing 46% dan 60% untuk tempoh yang sama, menurut data Bloomberg Second Measure.
Sumber: Men’s Journal








