Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jenama produk makanan daging perap popular, Pak Mat Western membuat laporan polis berhubung dakwaan tular di TikTok yang mendakwa syarikat berkenaan gagal membayar gaji pekerja.
Bagaimanapun, menerusi laporan polis yang dikongsikan di TikTok, Pak Mat Western memaklumkan telah membuat semakan di Jabatan Sumber Manusia. Semakan mendapati pekerja-pekerja berkenaan telah dibayar gaji, kecuali empat pekerja di bahagian jualan yang berhenti kerja tanpa surat notis.

“Kami baru sahaja selesai membuat laporan tentang isu yang tular di sosial media berkaitan isu fitnah terhadap Pak Mat Western. Kami menegaskan bahawa ini adalah tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat.
“Untuk makluman, kami cuba hubungi individu pemilik akaun tersebut namun tiada maklum balas yang diberikan. Namun begitu, segala bukti yang ada telah kita serahkan kepada pihak berkuasa dan juga pihak peguam .Tindakan undang-undang bakal dilakukan.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih diatas sokongan yang diberi dan pohon doa agar semua urusan ini dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, tular mengenai dakwaan yang dipercayai dari beberapa bekas pekerja syarikat berkenaan yang menyatakan syarikat berkenaan gagal membayar gaji pekerja.
Dalam hantaran tular berkenaan juga, pemilik akaun TikTok itu mendakwa syarikat berkenaan banyak membuat program amal jariah, tetapi culas dalam membayar gaji bekas pekerja.








