77% rumah Bumiputera tak laku, kebanyakannya berharga RM300K–RM500K | The Reporter

77% rumah Bumiputera tak laku, kebanyakannya berharga RM300K–RM500K

Gambar projek perumahan Bumiputera yang masih kosong dan belum diduduki
Foto hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebanyak 77 peratus unit kediaman kuota Bumiputera yang siap dibina tetapi masih belum terjual berada dalam lingkungan harga RM300,001 hingga RM500,000, menurut Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2024 oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Lapor Harian Metro, 72 peratus daripada unit tersebut telah melebihi usia 36 bulan sejak siap dibina, sekali gus menandakan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan yang masih belum diselesaikan dalam pasaran perumahan Bumiputera.

Situasi ini menimbulkan persoalan besar terhadap status harga “mampu milik” yang selama ini dikaitkan dengan julat RM300,000 ke atas, khususnya dalam kalangan pembeli Bumiputera yang kini berdepan tekanan kos sara hidup dan kelayakan pinjaman yang terhad.

Unit harga lain turut terjejas, tetapi tak seteruk RM300K–RM500K

Selain unit dalam julat RM300,001 hingga RM500,000, laporan Rehda turut mendedahkan sebahagian unit kuota Bumiputera lain juga tidak terjual, antaranya:

  • 8% dalam lingkungan harga RM1 juta ke atas,
  • 7% (RM700,001 – RM1 juta),
  • 5% (bawah RM300,001),
  • 3% (RM500,001 – RM700,000).

Secara keseluruhan, unit-unit Bumiputera ini menyumbang kepada lambakan hartanah tidak terjual yang membebankan pemaju serta memperlahankan pertumbuhan sektor hartanah.

Presiden Rehda, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, tinjauan turut menunjukkan prestasi jualan keseluruhan pemaju pada separuh kedua 2024 menurun kepada kadar pengambilan 28 peratus, berbanding 47 peratus pada separuh pertama tahun sama.

Daripada 3,802 unit yang berjaya dijual, 43 peratus terdiri daripada unit yang sebelum ini tidak terjual, membabitkan rumah bernilai RM400,001 hingga RM500,000.

Napic sahkan lebih 23,000 unit belum terjual di seluruh negara

Laporan Pasaran Harta 2024 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) pula menunjukkan jumlah rumah yang tidak terjual di seluruh negara mencecah 23,149 unit dengan nilai keseluruhan RM13.95 bilion.

Kediaman bertingkat menjadi jenis yang paling banyak tidak terjual (61.2%), diikuti rumah teres (23.6%) dan lain-lain jenis (15.1%). Majoriti unit ini telah siap dibina antara lima hingga 10 tahun lalu, menandakan masalah ini bukan sesuatu yang baharu.

Realiti ‘mampu milik’ perlu dikaji semula?

Walaupun pelbagai inisiatif dilakukan untuk memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan Bumiputera, laporan-laporan ini mencerminkan bahawa harga antara RM300K hingga RM500K mungkin tidak lagi dianggap mampu milik oleh majoriti golongan tersebut.

Jika tidak ditangani segera, isu ini berisiko menjejaskan sasaran pemilikan rumah nasional, dan menjadikan impian memiliki rumah sendiri dalam kalangan Bumiputera kekal sukar dicapai.

Sumber: Harian Metro (Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik)

Related Posts