Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
TikToker, Rayyan Wong, yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, keputusan pembebasan itu dibuat selepas permohonan reman terhadap pempengaruh berusia 22 tahun itu ditolak oleh mahkamah. Beliau turut memaklumkan individu tersebut telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.
“Dia sudah membuat permohonan maaf. Justeru, lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan,” katanya memetik laporan dari Harian Metro, Khamis, 19 Disember 2024.
Siasatan terhadap kes ini bagaimanapun masih diteruskan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kes ini menjadi perhatian umum kerana kandungan yang dimuat naik oleh suspek didakwa bersifat jelik dan berpotensi menggugat keharmonian negara.
Terdahulu, Rayyan Wong ditahan di kediamannya di Johor, kelmarin, dan pihak polis turut merampas telefon pintar jenis Galaxy Z Flip 5 milik suspek sebagai bahan bukti.
Sebelum itu, Rayyan Wong telah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan berhubung kenyataan yang dibuat, khususnya berkaitan status halal sebuah restoran.
Dia telah memadamkan video tersebut selepas mencapai lebih dua juta tontonan. Rayyan berjanji akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang dan meninggalkan media sosial selama sebulan kerana terkesan dengan kecaman netizen.
Sumber: Harian Metro








