Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 35 tahun di negeri Chhattisgarh, India, meninggal dunia akibat sesak nafas selepas menelan seekor anak ayam hidup. Namun, apa yang mengejutkan ialah, haiwan tersebut masih hidup.
Kejadian yang berlaku di Ambikapur ini mengejutkan masyarakat setempat dan profesional perubatan, dengan penduduk kampung mengaitkan tindakan aneh tersebut dengan amalan karut melibatkan ritual tertentu.
Menurut laporan India Today, Dr. Santu Bag yang menjalankan bedah siasat berkata, “Ini kali pertama saya menemui kes seperti ini sepanjang kerjaya saya, selepas melakukan lebih 15,000 bedah siasat. Penemuan ini amat mengejutkan kami.”
Mangsa, Anand Yadav, yang berasal dari Kampung Chhindkalo, dikejarkan ke Hospital Kolej Perubatan di Ambikapur selepas pengsan di rumah. Ahli keluarga memaklumkan Anand sebelum itu mengadu pening kepala dan jatuh pengsan selepas mandi.
Penduduk kampung percaya tindakan Anand dipengaruhi oleh kepercayaan karut. Difahamkan, dia mengalami masalah kesuburan dan berhubung dengan seorang bomoh. Ada spekulasi mengatakan, tindakan menelan anak ayam hidup itu adalah sebahagian daripada ritual untuk mendapatkan zuriat.
Hasil bedah siasat mendedahkan, anak ayam sepanjang 20 cm itu ditemui masih hidup dalam badan Anand. Menurut Dr. Santu Bag, kedudukan anak ayam itu menghalang saluran pernafasan dan makanan, menyebabkan Anand lemas, seperti yang dilaporkan oleh India Today.
Pihak berkuasa tempatan telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan sedang menyiasat punca kematian Anand, termasuk kemungkinan pengaruh ritual karut dalam insiden tragis tersebut. – Agensi








