'Setiap hari saya minta lepaskan jenazah anak, tapi hospital tak benarkan' - Safwan | The Reporter

‘Setiap hari saya minta lepaskan jenazah anak, tapi hospital tak benarkan’ – Safwan

Jenazah bayi Adam
Sumber gambar: Facebook Mr Wan Cai Official

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bapa kepada bayi lelaki bernama Adam, yang mayatnya didakwa disimpan dalam peti sejuk beku selama 16 hari oleh sebuah hospital swasta, tampil menjelaskan situasi sebenar selepas menerima pelbagai tuduhan tidak berasas.

Safwan Roshdy, 22, berkata setiap hari dia ke hospital untuk memohon agar jenazah bayinya dilepaskan.

“Setiap hari saya ke hospital minta untuk uruskan jenazah anak tapi pihak terbabit tak benarkan. Saya beritahu nak bayar (bil hospital), tunggu gaji,” katanya.

Tak rancang bersalin di hospital swasta

Menurut Safwan, kejadian itu bermula apabila isterinya bersalin di hospital swasta tanpa dirancang. Ketika itu, dia sedang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam sebelum menerima panggilan mengenai keadaan isterinya yang memerlukan rawatan segera.

Seorang individu telah membantu menghantar isterinya ke hospital swasta berdekatan, dan setibanya di sana, dia dimaklumkan bahawa bayi mereka bakal dilahirkan.

“Bayi saya dilahirkan dengan selamat malah semasa iqamatkan, dia aktif dan boleh menangis seperti bayi lain. Tapi selepas itu hospital beritahu anak saya dah meninggal,” katanya.

Dia turut dimaklumkan bahawa bayi tersebut mengalami kecacatan seperti tiada hidung dan lubang dubur, namun dia reda menerima ketentuan itu.

Safwan juga menyatakan rasa kecewa apabila pihak hospital enggan melepaskan jenazah bayi untuk dikebumikan kerana bil rawatan belum dijelaskan. Dia juga menafikan tuduhan bahawa dia dan pasangannya belum berkahwin.

“Kami sudah berkahwin, tapi mungkin sebab isteri tak ada ‘buku pink’ (rekod rawatan wanita mengandung), mereka salah faham,” jelasnya.

3 hari untuk tarik balik fitnah

Dalam usaha menuntut keadilan, Safwan mendapatkan bantuan daripada Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dan melantik peguam untuk menangani kes tersebut. Peguamnya, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, memberi tempoh tiga jam kepada individu yang menyebarkan fitnah di media sosial untuk memadamkan hantaran mereka.

Ahmad Zaharil turut memaklumkan pihaknya sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap hospital tersebut atas dakwaan menyimpan jenazah bayi tanpa kebenaran.

Sumber: Harian Metro

Related Posts