Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan pelaksanaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diteruskan di negeri-negeri terjejas banjir seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Ujian tersebut dijadualkan berlangsung bermula Isnin, hingga Khamis.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berpanjangan sehingga Februari 2025.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, seramai 5,377 calon terjejas akibat banjir di tiga negeri tersebut, dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,111 calon.
Fadhlina berkata, calon yang terkesan akan dipindahkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan keselesaan semasa menduduki peperiksaan. KPM juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung serta sokongan pembelajaran melalui buku teks, makmal komputer, dan platform DELIMa untuk membantu persediaan calon.
Pemindahan calon terjejas kini sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), khususnya di negeri Kelantan. Dalam pada itu, calon dibenarkan memakai pakaian bersesuaian jika pakaian seragam tidak dapat digunakan akibat situasi banjir. Sokongan psikososial turut disediakan bagi membantu kesejahteraan mental calon.
Namun, terdapat desakan daripada masyarakat supaya KPM mempertimbangkan penangguhan peperiksaan SPM, memandangkan banjir yang berulang setiap hujung tahun terus memberi cabaran kepada calon, guru, dan keluarga yang terjejas.
Mereka mencadangkan supaya jadual peperiksaan dipinda ke bulan Oktober pada masa akan datang untuk mengelakkan isu yang sama berulang.
KPM bagaimanapun menegaskan bahawa langkah-langkah sewajarnya telah diambil untuk memastikan peperiksaan berjalan lancar tanpa calon tercicir.
Sumber: Harian Metro, Majoriti








