Nak survey kereta, tapi jurujual tak nak layan, sibuk main phone | The Reporter

Nak survey kereta, tapi jurujual tak nak layan, sibuk main phone

Layanan buruk jurujual
Gambar hiasan sahaja

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki baru-baru ini berkongsi pengalaman buruk di Thread tentang kunjungannya ke sebuah bilik pameran kereta tiga tahun lalu. Dia menceritakan bagaimana dia diabaikan dan dilayan dengan tidak baik oleh jurujual, walaupun dia sudah berniat untuk membeli kereta.

Menurut Aashraf Jamaluddin, apabila masuk ke bilik pameran itu, pelanggan biasanya akan menerima dua jenis layanan: sama ada dilayan segera atau diabaikan terus. Malangnya, dia menerima layanan jenis yang kedua.

Kejadian itu berlaku di sebuah bilik pameran kereta. Selepas memarkir keretanya di tepi jalan, dia masuk dan melihat ada empat jurujual, termasuk seorang wanita di kaunter. Namun, selepas beberapa minit, tiada seorang pun yang datang menghampirinya.

“Bila sampai di kaunter, ada seorang kakitangan wanita bertugas langsung tak angkat muka dan sibuk dengan telefon. Saya pun bertanya, “Boleh jumpa siapa? Saya nak tanya tentang kereta”.

Dia memandang ke arah kiri, tempat beberapa jurujual sedang berkumpul, sebelum menjerit memanggil seseorang untuk melayan saya. Kemudian, datang seorang jurujual hanya memandang kedatangan saya.

“Nak beli kereta apa?” soal jurujual berkenaan yang membuatkan saya terkedu seketika. Itukah soalan pertama yang ditanya? Tetapi saya tetap melayan sahaja.

“Saya bertanya tentang model kereta yang saya mahu lihat, dan dia menjawab, “Oh, kita ada satu, tapi dah dijual,” sambil menunjuk ke arah kereta dengan tanda “SOLD” di cermin.

“Selepas itu, dia terus duduk kembali di tempatnya, meninggalkan saya begitu sahaja. Saya rasa sangat kecewa dengan layanan seperti ini. Bukannya saya minta dia melayan saya berlebihan, sekurang-kurangnya berikan penjelasan dengan cara yang baik.

“Saya melangkah untuk keluar sambil memandang diri sendiri di cermin pintu. Adakah saya nampak seperti peminta sedekah sampai perlu dilayan sebegini? Saya rasa pakaian saya sudah sesuai, dengan jeans, t-shirt, kasut, dan beg silang. Atau adakah mereka hanya akan melayan pelanggan yang memakai kot?

“Sebelum keluar, saya sempat berjalan ke arah sebuah kereta sedan berhampiran, membuka pintu, menutupnya semula, dan terus pergi. Saya perasan jurujual itu hanya memandang saya. Hingga hari ini, wajahnya masih saya ingat,” ujarnya.

Pengalaman buruk itu tidak menghalangnya membeli kereta di tempat lain. Aashraf bertemu seorang jurujual yang membantu, dan hingga kini, masuk tahun keempat, jurujual itu masih memberikan khidmat yang baik.

Justeru, Aashraf mengingatkan agar menjaga adab ketika berkomunikasi dan tidak menghakimi seseorang berdasarkan penampilan, terutamanya dalam urusan pekerjaan yang melibatkan interaksi dengan orang lain.

Related Posts