Adidas gugurkan Bella Hadid daripada kempen kasut retro Munich 1972 | The Reporter

Adidas gugurkan Bella Hadid daripada kempen kasut retro Munich 1972

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Jenama pakaian sukan terkenal dunia, Adidas telah menggugurkan nama model pro-Palestin, Bella Hadid daripada kempen pengiklanan kasut retro Olimpik Munich 1972, yang dibayangi oleh pembunuhan beramai-ramai atlet Israel.

Pemilihan Hadid dikatakan telah dikritik oleh Israel dan menuduh model berkenaan memusuhi Israel.

Sebelas atlet Israel dan seorang pegawai polis Jerman terbunuh pada Olimpik Munich 1972 selepas lelaki bersenjata dari kumpulan Black September Palestin menceroboh perkampungan Olimpik dan menjadikan mereka tebusan.

Adidas dalam satu kenyataan telah membuat permohonan maaf dan akan membuat semakan semula mengenai promosi kasut Latihan SL72 yang menggunakan Hadid sebagai model mereka.

“Kami sedar bahawa hubungan dibuat dengan peristiwa bersejarah yang tragis walaupun ini sama sekali tidak disengajakan dan kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesulitan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap wanita mengesahkan bahawa Hadid digugurkan daripada kempen itu, yang menyatakan bahawa kasut itu mula diperkenalkan pada 1972 tetapi tidak pernah menyebut serangan pengganas ke atas atlet Israel.

Timbul bantahan

Gambar model AS yang memakai kasut retro Adidas menimbulkan bantahan dalam kalangan kumpulan pro-Israel dan mula tular di laman sosial.

“Teka siapa wajah kempen itu? Bella Hadid, seorang model berdarah kacukan Palestin yang menyebarkan anti-Semitisme pada masa lalu dan menghasut keganasan terhadap Israel dan Yahudi,”

“Bagaimanakah Adidas kini boleh mendakwa bahawa rujukan (kepada peristiwa di Munich) adalah ‘sama sekali tidak disengajakan’?”

“Keganasan 1972 terpahat dalam ingatan rakyat Jerman dan Israel,” tulis beberapa ciapan.

Hadid, dilahirkan di Amerika Syarikat (AS) lantang menyuarakan solidaritinya terhadap Palestin semenjak tercetusnya serangan dan pembunuhan rakyat di negara itu Oktober lalu.

Sumber: Harian Metro

Related Posts