Pierre Andre akui bebas tekanan tanpa telefon bimbit & media sosial sejak 10 tahun | The Reporter

Pierre Andre akui bebas tekanan tanpa telefon bimbit & media sosial sejak 10 tahun

Mengikut arus kemodenan dan teknologi, setiap individu dan masyarakat secara purata menggunakan telefon bimbit dan media sosial. Kedua-duanya menjadi satu perkara penting dalam kehidupan.

Tetapi, bagi pelakon dan pengarah, Pierre Andre pula mendedahkan sebaliknya. Dia menyatakan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit serta tidak mempunyai akaun media sosial. Dia hanya memiliki satu saluran Youtube yang dinamakan sebagai Pierre Ande Vlog sejak tahun 2019.

Bagaimanapun, sekiranya ada pihak yang mahu menghubunginya berkaitan urusan kerja, perlu melalui isterinya.

Dalam pada itu, dia juga mendedahkan dia tidak gemar menggunakan telefon bimbit. Semasa berkawan dengan isterinya, dia hanya menggunakan telefon awam.

“Telefon beri saya tekanan. Saya rasa bebas tanpa telefon bimbit dan kalau orang nak hubungi saya, memang perlu hubungi isteri saya.

“Telefon yang saya ada pun hanya digunakan untuk merakam video bagi kandungan YouTube saya, tetapi bukan alat komunikasi utama,” katanya.

Lebih selesa menggunakan telefon bimbit isteri

Dia juga mengakui lebih selesa menggunakan telefon bimbit isterinya jika ingin mengetahui apa-apa perkara di internet.

“Saya tidak nafikan, ramai artis baru yang saya tak kenal dan saya perlu buat carian mengenai individu tersebut sekiranya saya mahu tahu tentang dia.

“Biasanya kalau saya pinjam telefon isteri, saya hanya belek sepintas lalu untuk mengetahui perkembangan semasa,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Pierre Andre kembali memikul tanggungjawab sebagai pengarah dibawah terbitan Metrowealth International Group (MIG) setelah 10 tahun menghilangkan diri dari industri.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts