Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan keadaan dirinya masih belum begitu kuat meskipun sudah mula mencuba untuk kembali ke pejabat sejak beberapa hari lalu.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, baru-baru ini.
“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat.
“Bagi pihak kesemua ahli keluarga, saya nak ambil kesempatan untuk ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah tempoh hari,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir meluahkan rasa terharu atas doa yang terus dipanjatkan orang ramai buat Allahyarhamah, sama ada ketika menziarahi pusara mahupun dari tempat masing-masing.
Menurutnya, sokongan dan doa berkenaan turut mengingatkan beliau untuk terus bersyukur kepada Allah SWT meskipun sedang berdepan kesedihan akibat kehilangan insan tersayang.
“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada Allah SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” katanya.
Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu turut memohon maaf kepada mana-mana pihak sekiranya beliau tidak berkesempatan membalas ucapan takziah atau menyambut sapaan sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab,” katanya.
Terdahulu, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun, sekali gus meninggalkan Dr Mahathir selepas kira-kira tujuh dekad melayari kehidupan rumah tangga bersama.








