Pentadbiran Istana Selangor memandang serius kegiatan penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor bagi memperdayakan orang awam.
Menurut kenyataan media Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, pihak istana telah menerima laporan polis berkaitan individu terbabit yang didakwa menggunakan kedudukan palsu itu untuk meyakinkan orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah demi meraih keuntungan peribadi.
Susulan itu, Pentadbiran Istana Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh secara adil dan telus berhubung kes berkenaan.
“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, pihak istana menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap individu yang mendakwa mempunyai hubungan atau kedudukan tertentu dengan institusi diraja Selangor.
Orang awam turut diminta membuat semakan terus dengan Pentadbiran Istana Selangor bagi mengesahkan sebarang dakwaan yang mengaitkan nama istana sebelum melakukan sesuatu urusan.
Terdahulu, tular beberapa hantaran di media sosial mendakwa telah menjadi mangsa penipuan seorang lelaki.
Menurut pengadu, individu terbabit didakwa menggunakan hubungan rapat dengan kerabat diraja Selangor serta pihak berpengaruh bagi mendapatkan kepercayaan pelanggan dalam urusan jual beli berkenaan.
Mangsa mendakwa telah membuat pembayaran, namun barangan, kenderaan atau urusan hartanah yang dijanjikan tidak diserahkan atau disempurnakan.
Tarikh penyerahan juga didakwa beberapa kali ditangguhkan sebelum komunikasi dengan individu terbabit dilaporkan terputus.








