'90% pasangan bercerai kerana tidak solat, hubungan intim bukan punca utama' - Ustazah Asma' Harun - The Reporter

‘90% pasangan bercerai kerana tidak solat, hubungan intim bukan punca utama’ – Ustazah Asma’ Harun

Ustazah Asma' Harun mengakui punca penceraian suami isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.

Tular baru-baru ini seorang wanita secara terbuka berkongsikan tips hubungan intim pasangan suami isteri. Sikap keterbukaannya itu membuatkan ramai yang mengecam tindakannya. Pelbagai pihak tampil mengulas isu tersebut supaya masyarakat tidak terus percaya dan menerima dengan bulat-bulat dengan apa yang disampaikan.

Mengulas isu tersebut, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes penceraian dan permasalahan rumah tangga mengakui, punca perpecahan dan penceraian suami isteri adalah daripada masalah ‘hubungan intim’. Tetapi ia bukan punca paling tinggi.

Katanya, punca utama dan terbesar adalah kurangnya pegangan dan amalan agama. Kayu ukur utama adalah solat dan Rukun Islam yang lain.

Ramai pasangan abaikan solat

“Hampir 90% rumahtangga yang berakhir dengan penceraian atau menghadapi syiqaq (pergaduhan) berpanjangan adalah mereka yang mengabaikan solat, walaupun pasangan datang mengadukan isu lain seperti orang ketiga, kewangan, hubungan intim dan lain-lain. Ramai yang tidak nampak perkaitan solat dengan semua masalah yang timbul.

“Semua ni ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas,” tulisnya.

Beliau menjelaskan, ada kalanya hubungan intim ini menjadi sebab utama tetapi kesannya adalah akibat bila syariat Islam diabaikan.

“Sebagai contoh,seorang suami yang tidak solat, pasti cenderung abaikan juga tanggungjawab asas sebagai suami dan mempunyai sikap yang tidak menyenangkan, paling utama hilang berkat dalam hubungan dan terhalang rahmat Allah. Maka hubungan intim yang sepatutnya sebagai Ibadah yang indah boleh bertukar menjadi musibah.

“Begitu juga dengan seorang isteri yang tidak solat, jika kewajipan paling utama sebagai muslim diabaikan dan tidak rasa berdosa, maka apa sangat nak rasa berdosa bila menolak ajakan suami tanpa sebab kukuh, walaupun amaran yang sangat berat,” katanya.

Pengalaman beliau juga berdepan dengan ramai pasangan yang mempunyai masalah hubungan intim.

“Memang saya berdepan langsung dengan ramai pasangan yang ada masalah dengan ‘hubungan intim’. Saya cuba bantu dengan dua keadaan, pertama, menjawab kepada soalan yang berkait hukum hakam hubungan intim. Kedua, saranan yang perlu mereka lakukan, saranan agama dan rawatan perubatan.

“Sebenarnya sangat banyak saranan agama, bahkan ada banyak kitab penulisan alim ulama berkait ilmu ini, termasuk yang sangat asas iaitu bacaan doa, inipun ramai yang tidak beramal, sedangkan ia adalah benteng kepada gangguan Iblis dan Syaitan yang nak rosakkan hubungan suami isteri melalui jalan ini.

“Banyak juga punca yang turut memerlukan rawatan perubatan, dan ia sangat membantu kes klien bila dirujuk. Terutama wanita yang trauma selepas bersalin atau faktor umur yang telah mula menggangu hormon dan lain-lain. Begitu juga para suami yang bermasalah,” katanya.

Tak salah kongsi tips tetapi jangan sampai buka aib

Apa yang penting katanya, ilmu yang dperoleh oleh individu atau pasangan.

“lmu ini memang sangat penting, ia boleh diperolehi daripada sumber fitrah semulajadi, atau dipelajari secara tidak langsung dengan capaian ilmu dari persekitaran atau boleh juga secara formal.

“Yang menjadi perhatian utama adalah cara dan isi ilmu yang disampaikan. Tidak salah ingin berkongsi tips kekeluargaan, rumah tangga bahagia, tapi bila sampai menjadi perbualan saling membuka aib pasangan, cerita pengalaman sendiri sebagai panduan atau menjelaskan kaedah yang sangat terperinci sehingga boleh dibayangkan dan lain-lain ia adalah dilarang,” katanya.

Sumber: Ustazah Asma’ Harun

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!