Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sejak kelmarin, satu perkongsian di Facebook telah menarik perhatian ramai apabila seorang wanita, Nurul Syazwani, berkongsi tentang perpisahan dengan suaminya dan ucapan tahniah kepada lelaki tersebut yang kini telah bernikah dengan wanita pilihannya.
Dalam hantaran yang dimuat naik, Nurul dengan tenang mengucapkan tahniah dan berharap suaminya bahagia dengan isteri barunya, Effa Ezan.
“Tahniah suami, moga bahagia dengan pilihan hati awak. Effa Ezan, jagalah dia baik-baik sebagaimana saya pernah jaga dia,” tulisnya sambil menyertakan gambar pernikahan bekas suaminya itu.

Nurul juga meluahkan rasa syukur kerana telah menunaikan tanggungjawabnya selama ini, terutama sekali dalam menjaga suaminya ketika terlantar sakit (akibat kemalangan) selama enam tahun. Kini, tanggungjawab itu diambil alih oleh isteri baru bekas suaminya.
Bagaimanapun, hantaran itu telah dipadamkan atas sebab-sebab tertentu dan Nurul meminta orang ramai untuk tidak mengecam bekas suaminya.

Dia menjelaskan, bekas suaminya telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sepanjang perkahwinan mereka, dan perceraian mereka berlaku secara baik pada 6 Oktober 2024.
“Saya minta maaf kepada semua. Suami menjalankan tanggungjawab dengan baik dan saya juga telah buat yang terbaik untuk rumah tangga kami. Kami berdua tetap menjalankan tanggungjawab membesarkan anak kami bersama-sama,” jelasnya dalam satu hantaran lain.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet, yang rata-rata memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada Nurul. Ramai yang tersentuh dengan kesabaran dan ketabahannya menghadapi ujian kehidupan ini.








