Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Enam individu yang merupakan bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dijatuhkan hukuman gantung atas tuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.
Enam tertuduh itu yang berusia 28 tahun ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal; Muhammad Azamuddin Mad Sofi; Muhammad Najib Mohd Razi; Muhammad Afif Najmudin Azahat; Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menghidupkan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketika membaca keputusan penghakiman sepanjang 232 perenggan lebih tiga jam, bermula jam 9.10 pagi, Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pertuduhan yang dipinda dan menghidupkan semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkmah Rayuan Putrajaya itu menyifatkan kes pembunuhan Zulfarhan sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Sementara itu ibu bapa kepada mangsa melakukan sujud syukur dengan keputusan yang dibacakan.
Sumber: Sinar Harian








